Sunday, 7 October 2012

BARAH HIDUNG : EZMI MUNGKIN DISIHIR


BATANG KALI - Rawatan menggunakan daun sirih, pati ibu kunyit, air garam Laut Merah dan roti memberi kesan serta perubahan terhadap luka pada wajah bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd Ezmi Mad Jan, 35, yang menghidap kanser hidung.

Pengamal perubatan Islam, Mohd Habib Ahmad (gambar, bawah) yang merawat bekas pemain bola sepak Selangor itu berkata, sel tisu hidung Mohd Ezmi sudah mulai tumbuh kemerahan dan menyifatkan perubahan ketara itu satu petanda baik untuk pulih.
Mohd Habib Ahmad

“Saya menggunakan wap rebusan daun sirih untuk membunuh kuman dan virus, manakala nanah dicuci dengan roti kemudian setelah bersih luka disapu dengan air garam serta pati ibu kunyit.

“Alhamdulillah, setelah lebih tiga minggu merawat Mohd Ezmi kesan lukanya sudah mula surut dan daging baru juga tumbuh kemerahan,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Habib yang juga peneroka Felda Gedangsa berkata, tindak balas positif itu sebenarnya memberi petanda berbeza dengan tanggapan Mohd Ezmi menghidap barah.

"Kemungkinan besar Mohd Ezmi terkena sihir.

"Ulat yang memakan daging pada hidung Mohd Ezmi pernah dibuang di dalam tandas tetapi hanya selang sehari ulat kembali semula dengan jumlah yang sama," katanya.

Namun, katanya, setelah dibacakan ayat al-Quran dan menghembusnya pada ubun-ubun Mohd Ezmi, ulat itu mudah dibersihkan dan setelah dimasukkan ke dalam botol lalu dibuang ke sungai ia tidak lagi kembali.

“Selepas itulah sel tisu muka dan hidung Mohd Ezmi kelihatan bersih dan kemerahan.

“Jadi, ini berkemungkinan satu perbuatan khianat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Habib berkata, dia tidak dapat membantu memulihkan sel tulang hidung Mohd Ezmi kerana sudah rosak dipercayai kesan kimoterapi.

"Kita akan teruskan rawatan terhadap Mohd Ezmi bagi memastikan dia pulih sepenuhnya dan terhalang daripada gangguan berulang," katanya.


Sinar Harian 7/10/12

No comments: