IPOH - Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli antara 13 pemain yang digugurkan dalam rombakan besar-besaran skuad Perak untuk menghadapi musim baru.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata: "Kita sedang berusaha memantapkan skuad Seladang dengan wajah baru bagi saingan akan datang."
Antara yang digugurkan ialah Mohd. Shafiq Jamal, Mohd. Nasril Mat Nourdin serta penjaga gol, Kamarul Efandi Abdul Rahim.
Empat pemain pertahanan yang turut terlibat Mohd. Khairi Zainuddin, K. Nanthakumar, Mohd. Badrul Azam Mohd. Zamri serta Chan Wing Hong.
Barisan tengah yang diketepikan ialah Isma Alif Mohd. Salim, Wan Hossen Wan Abdul Ghani, Mohammad Khalis Ibrahim, Mohd. Fazrul Hazli Mohd. Kadri serta Fahrul Razi Kamaruddin.
Pada sidang akhbar semalam, Zainol memberitahu, selain itu, sebanyak 10 pemain lain yang diketuai Shahrulnizam Mustafa dikekalkan.
Beliau menjelaskan, Perak akan melakukan sesi pemilihan pemain musim depan secara terbuka bagi mengisi kekosongan pada Oktober ini.
"Mana-mana bekas pemain Liga Super atau Piala Presiden negeri lain yang berminat menyarung jersi Perak boleh mengikuti ujian pemilihan tersebut yang akan diadakan pada 20,21,27 dan 28 Oktober ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment