Saturday, 1 September 2012

DEMI PERJUANGAN LEBIH MANTAP, BERI PELUANG LEBIH RAMAI PROFESIONAL SERTAI UMNO

Beri Peluang Lebih Ramai Profesional Sertai Umno

GUA MUSANG  –   Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mahu Umno lebih terbuka untuk menerima lebih ramai golongan profesional supaya perjuangannya lebih kuat dan mantap.
Beliau berkata langkah itu sekali gus dapat memberi peluang terbaik untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang selain membaiki segala kelemahan sebelum ini.
“Kita harus membuka peluang kepada profesional termasuk guru dan penjawat awam lain menyertai Umno seperti yang pernah saya cadangkan sebelum ini,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Gua Musang di sini, Sabtu.
Beliau ialah Ketua Umno bahagian itu.
“Jika kita tidak memberi peluang kepada mereka, pembangkang sudah tentu mengambil peluang dengan menawarkan pelbagai keistimewaan kepada golongan profesional terbabit untuk menyertai partinya dan sekali gus kita yang berdepan dengan masalah,” katanya.
Beliau turut berkata parti-parti komponen BN perlu membuat perubahan bagi menarik rakyat yang diwakili untuk menyokong BN pada pilihan raya umum akan datang. – BERNAMA

No comments: