Monday 24 September 2012

3 PENJENAYAH SEKELUARGA DI KELANTAN DI TAHAN POLIS


PASIR PUTEH: Polis Kelantan berjaya menahan tiga penjenayah yang merupakan satu keluarga, dipercayai terbabit dalam melakukan 30 kes jenayah samun, ragut dan pecah rumah di empat jajahan di Kelantan sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata mereka yang ditahan itu seorang lelaki berumur 19 tahun, isterinya, 20 tahun dan ibu lelaki itu yang berumur 51 tahun.

"Ketiga-tiga suspek itu ditahan oleh sepasukan polis Pasir Puteh dan Bachok di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dipercayai cuba melarikan diri ke Sarawak, pukul 10.30 malam Ahad.

"Kesemua kini ditahan reman bermula hari ini sehingga Ahad depan bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng dan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal.

Jalaluddin berkata dalam siasatan lanjut, polis menjumpai 131 barangan kes termasuk televisyen, telefon bimbit, kamera, wang tunai sebanyak RM1,800 serta peralatan bagi melakukan jenayah itu yang disembunyikan di rumah mereka di Kampung Gong Serapat di sini.

Beliau berkata polis percaya barangan itu hasil kegiatan jenayah yang dilakukan di Jajahan Pasir Puteh, Bachok, Kota Baharu dan Tumpat.

Katanya polis sedang memburu abang lelaki itu yang berumur 29 tahun yang dipercayai perancang utama kegiatan itu bagi membantu siasatan.

Jalaluddin berkata modus operandi mereka ialah suspek iaitu si adik akan menggunakan parang ketika melakukan kegiatan itu sama ada di kedai dan di rumah manakala abangnya menunggu di dalam kereta untuk memudahkan mereka melarikan diri.

"Isteri dan emaknya pula membantu menjualkan barang-barang kes kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata dua bulan lepas mereka merempuh sekatan polis di Tumpat menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan, bagaimanapun suspek berjaya melarikan diri. -BERNAMA

No comments: