Bila menceritakan mengenai pembunuh bersiri, kita akan terbayang imej-imej ganas dari negara barat.
Namun, jangan terperanjat. Kes pembunuhan bersiri pernah berlaku di negara ini dan antaranya adalah kisah seorang pawang dengan nama Mat Melaka yang berlaku berpuluh tahun sebelum kemerdekaan negara.
Pelik jugak jiwa orang Melayu ini kan…dalam lemah lembut, sudah ada yang menjadi pembunuh bersiri ratusan tahun lalu.
Petikan di bawah adalah bahan yang dipetik dari laman facebook PDRM berasa sumber Buletin Bukit Aman tahun 1984.
Ikuti kisah mengenai pembunuhan bersiri oleh seorang bomoh pada tahun 1908 di Kampung Bota, Sungai Perak. Kisah ini menceritakan episod pembunuhan serta kronologi tindakan dan usaha pihak polis bagi memastikan pembunuh dihadapkan ke Mahkamah dan dihukum.
Pada suatu ketika dalam tahun 1908, nama Mat Melaka telah menggerunkan seluruh Kampung Bota yang terletak di sebelah hilir pinggir Sungai Perak. Sebutan namanya lebih dahsyat lagi dari mendengar kisah hantu kum-kum yang mencari anak gadis sunti di waktu senja.
Kewujudan balai polis sudah tidak dapat meyakinkan orang-orang kampung tentang kedaulatan undang-undang. Institusi penghulu sebagai simbol kesejahteraan menerusi pengekalan sosio-budaya masyarakat nampaknya tidak dapat menyatu dan membulatkan tekad dan semangat untuk menentang Mat Melaka.
Mat Melaka ialah anak seorang bomoh dan bapanya telah menurunkan segala ilmunya kepada Mat Melaka. Sejak kecil lagi Mat Melaka telah mengembara ke Perak dan menyara kehidupannya sebagai seorang pawang di Bota.
Pada mulanya kedatangan Mat Melaka disambut baik oleh penduduk-penduduk di sana sehingga Mat Melaka diterima untuk berkahwin dengan seorang gadis tempatan. Hasil dari perkongsian hidup ini Mat Melaka telah mendapat seorang cahaya mata.
Setelah mendirikan rumahtangga Mat Melaka terus menyara kehidupannya sebagai pawang. Tetapi lama-kelamaan Mat Melaka telah memperdayakan kepercayaan orang terhadap ilmunya sehingga beliau sanggup memerangkap lalu membunuh dengan kejam mereka yang datang meminta bantuan darinya dan merampas harta-benda mangsanya.
Tidak diketahui siapakah orang yang menjadi mangsa pertama Mat Melaka, tapi besar kemungkinan bahawa beliau adalah bertanggungjawab atas pembunuhan seorang penjaja kain bernama Mat Jenser di sebuah lorong dari Tanjung Rambutan ke Ipoh.
Mengikut laporan Ketua Polis Daerah Kinta, ACP E. Spinks bahawa pada 13/10/1908, Mat Jenser meninggalkan rumahnya untuk berjaja. Sehingga pada 19/10/1908, Mat Jenser tidak balik-balik.
Gerakan mencari beliau diatur oleh keluarga dan rakan-rakannya. Mereka telah menjumpai mayat Mat Jenser di pinggir sebuah kampung bernama Tanjung Rekong. Mat Jenser dijumpai dalam keadaan separuh bogel, dan hampir sudah tidak dapat dikenali lagi.
Kaki kanannya terputus mungkin telah dibaham oleh babi hutan. Lalat-lalat dan ulat yang mengerumuni bahagian muka menyukarkan orang untuk mengenalinya. Walau bagaimanapun pihak polis berusaha untuk mengumpul seberapa banyak bukti yang boleh sekurang-kurangnya untuk menentukan sama ada Mat Jenser telah dibunuh orang atau diserang binatang buas.
Dari pemeriksaan yang dijalankan jelas bahawa Mat Jenser telah dibunuh. Di bahagian pangkal tengkuknya merupakan tempat yang paling banyak dikerumuni ulat. Ini menunjukkan bahawa pangkal tengkuk Mat Jenser telah luka sebelum dia mati.
Polis juga mendapati bahagian tengkoraknya retak akibat dipukul. Apabila pemeriksaan post-mortem dilakukan di hospital besar Ipoh, doktor yang melakukan pemeriksaan telah mengesahkan ‘modus operandi’ yang diramalkan oleh polis itu.
Pada mula-mulanya pihak polis tidak menaruh syak terhadap sesiapa atas pembunuhan Mat Jenser. Tetapi maklumat-maklumat selanjutnya mengenai kegiatan Mat Melaka besar kemungkinan bahawa Mat Melaka telah berjumpa dengan Mat Jenser di Tanjung Rambutan dan dalam perjalanan mereka di satu lorong menuju ke Ipoh, Mat Melaka telah mempengaruhi Mat Jenser untuk menerima bantuan kuasa ghaib supaya melipat-gandakan wangnya.
Setelah Mat Jenser bersetuju, Mat Melaka terus menjalankan rancangannya yang sangat kejam. ‘Chief Inspector’ H. Doel, Ketua Polis Daerah Batu Gajah memberikan laporan yang amat menarik mengenai kegiatan Mat Melaka ini.
Beliau menceritakan iaitu sejak bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah pada awal tahun 1909, beliau telah mendengar beberapa berita mengenai aktiviti seorang lelaki Melayu bernama Mat Melaka yang tinggal di kampong Bota, Parit, Perak.
Dikatakan bahawa Mat Melaka mempunyai kuasa ghaib yang amat berkesan sehingga orang-orang kampong percaya bahawa kuasa-kuasa Mat Melaka itu telah mengakibatkan ‘ghaib’nya tiga orang lelaki dari kampong itu.
Maklumat tersebut begitu menggemparkan sehingga Ketua Polis Negeri Perak ketika itu Major Graham telah mengarahkan Mr. H. Doel untuk memulakan penyiasatan rasmi.
Doel telah melakukan beberapa lawatan ke Parit dan Bota tetapi tidak dapat sebarang kerjasama dari penduduk-penduduk tempatan. Apabila sahaja nama Mat Melaka disebut, setiap orang yang ditanya itu akan berubah menjadi gelisah dan ketakutan lantas tidak mahu berbicara lagi.
Pada suatu hari sewaktu Doel, melawat pekan kecil Tronoh, beliau mendapat maklumat bahawa seorang kontraktor balak yang dipanggil orang dengan nama Ngah, boleh membantu polis untuk mengesan kegiatan Mat Melaka.
Tidaklah sukar bagi Doel mencari ‘Ngah’ kerana tidak ramai orang Melayu yang bekerja sebagai kontraktor ketika itu. Ngah telah menceritakan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayatnya .
Ngah menceritakan bahawa dia mula-mula berkenalan dengan Mat Melaka semasa dalam bulan Febuari atau Mac, 1910, di ‘Tronoh Mine’ di mana dia bekerja sebagai sub. kontraktor balak (timber).
Mat Melaka telah datang menemuinya dan bertanya sama ada dia berminat untuk menambah wang pendapatannya tanpa memerah keringatnya. Ngah bersetuju dengan syarat Mat Melaka mendedahkan cara-cara bagaimana wang tersebut boleh didapati.
Mat Melaka mengeluarkan satu cerita dan menerangkan kepada Ngah mengenai rancangannya. Mat Melaka memberitahu Ngah bahawa dia boleh melipatgandakan wang dari $30/- ke $60/- dan seterusnya Ngah bersetuju.
Beberapa hari kemudian mendapat gajinya dari ‘Mine’ dan Mat Melaka sudah berada di Tronoh ketika itu. Dibawanya Ngah ke pinggir hutan antara Tronoh dengan Batu gajah dan di sana Mat Melaka memilih satu tempat di pangkal sebatang pokok serdang. Mat Melaka mengeluarkan kertas dan membentangkannya di atas tanah dan Ngah mengeluarkan wang tunai sebanyak $30/-.
Wang ini diletak oleh Mat Melaka atas carta tersebut. Ngah disuruh duduk mencangkung di hadapan carta , sambil memejamkan mata dan mengikuti jampi-jampi yang diucapkan oleh Mat Melaka. Semasa ‘upacara’ ini berjalan Mat Melaka berada di belakang Ngah.
Sementara membaca jampi serapah itu Ngah tidak begitu sedap hati lalu menoleh ke belakang untuk melihat apakah yang sedang dilakukan oleh Mat Melaka.
Tindakan Ngah adalah tepat pada waktunya, seolah-olah sudah digerakkan untuk berbuat demikian.
Dilihatnya, Mat Melaka sedang mengangkat sebatang kayu sebesar betis untuk memukul pangkal tengkuknya. Ngah bergegas melompat dan lari dari situ meninggalkan wangnya di bawah pokok serdang itu.
Doel puas hati bahawa Ngah bercakap benar. Dia merancang untuk menangkap Mat Melaka. Doel telah mengarahkan Ketua Balai Polis Parit, untuk menangkap Mat Melaka tetapi setiap kali polis sampai ke Bota, Mat Melaka tidak ada di rumah.
Orang-orang kampungnya tidak berani bekerjasama dengan pihak polis kerana khuatir ‘bencana’ yang mungkin akan menimpa. Akhirnya Doel telah berbincang dengan Penolong Pegawai Daerah Parit dan Penghulu Bota.
Penolong Pegawai Daerah itu telah mengarahkan Penghulu Bota untuk mengeluarkan kenyataan memanggil semua orang lelaki kampong Bota supaya hadir di masjid di suatu hari dan masa yang ditetapkan untuk mendengar suatu penerangan mengenai peraturan tanah yang baru.
Adalah diharapkan supaya Mat Melaka akan menghadirkan diri di masjid pada waktu itu untuk ditangkap.
Masa yang ditetapkan tiba.
Pada jam 6.00 petang semua orang dewasa lelaki telah sampai di masjid melainkan Mat Melaka. Pada mulanya harapan untuk memberkas Mat Melaka telah mula pudar.
Tiba-tiba setiap anak buah merasa kerana Mat Melaka datang muncul dari satu lorong mengarah ke masjid itu. Mat Melaka terus berjalan menuju ke masjid.
Masa itu beberapa orang anak buah Tok Penghulu terus menerpa dan menangkapnya. Tidak ada masa bagi Mat Melaka untuk menghunus golok yang tergantung di pinggang sebelah kirinya.
Dalam laporannya, Doel menceritakan sebanyak 200 lebih bot dan sampan mengiringi bot yang membawa Mat Melaka dari Bota ke Parit.
Apabila sudah sampai di Balai Polis Parit, anggota polis di balai itu meminta kebenaran Doel untuk menggunakan kesemua gari yang ada di balai (4 gari) untuk menggari kaki dan tangan Mat Melaka ke batang-batang besi lokap dalam balai itu.
Setelah Mat Melaka dapat ditawan, maklumat telah datang mencurah-curah mengenai kegiatannya. Selama ini orang ramai takut untuk tampil ke hadapan membantu pihak polis.
Doel telah membawa Mat Melaka ke rumahnya di Bota untuk menjalankan pemeriksaan. Dalam sebuah peti Doel menjumpai sebuah buku nota yang mengandungi carta.
Carta ini kemudiannya disahkan oleh Ngah sebagai carta yang digunakan di Tronoh di mana Mat Melaka telah gagal dalam rancangannya untuk membunuh Ngah. Doel juga telah menjumpai barang-barang hiasan perak yang kemudiannya disahkan sebagai harta-harta kepunyaan Kulop Mat Taib.
Di tengkuk anak Mat Melaka tergantung seutas rantai emas dan dan wang tembaga kepunyaan Kulop Mat Taib. Kulop Mat Taib telah hilang lesap sejak 28 November 1909.
Kali terakhir beliau dilihat ialah bersama-sama dengan Mat Melaka, waktu pagi di hari yang sama. Mereka menuju ke Kampung Merbau lebih kurang dua batu dari rumah Mat Melaka. Mereka dilihat oleh dua orang petani di situ.
Walaubagaimanapun pun hanya Mat Melaka sahaja yang balik.
Doel telah merancangkan satu pasukan untuk mencari mayat Kulop. Mereka memulakan gerakan mencari di pinggir hutan Kampung Merbau. Di sana pasukan mencari telah menjumpai tengkorak dan tulang-tulang bahagian badan, kaki dan tangan.
Tengkorak (terutama bahagian gigi) dan lain-lain tulang itu telah dapat membantu pihak perubatan untuk mengecam sebagai Kulop Mat Taib.
Lebih kurang suku batu dari tempat ini telah dijumpai rangka-rangka dua manusia yang dapat dikesan sebagai rangka orang lelaki. Tengkorak dua orang ini telah hilang. Mungkin telah dimusnahkan oleh babi hutan.
Semasa perbicaraan isteri Mat Melaka telah memberi keterangan untuk pihak pendakwa. Beliau mengesahkan iaitu selepas hilangnya ketiga-tiga orang tersebut, suaminya telah mendapat wang dan barang kemas yang banyak.
Perbicaraan telah memakan masa selama dua belas hari di mana seramai 30 orang saksi memberikan keterangan mereka.
Mat Melaka telah dijatuhkan hukuman mati (didapati bersalah). Hukuman dijalankan di penjara Taiping dalam bulan Disember 1910.
No comments:
Post a Comment