Saturday 9 June 2012

PARLIMEN BOLEH DIBUBARKAN PADA BILA-BILA MASA....


Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa termasuk ketika persidangan Dewan Rakyat sedang berlangsung untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan, undang-undang atau Peraturan Urusan Mesyuarat Parlimen yang menghalang Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa.
Malah, katanya, pembentangan Belanjawan 2013 yang dijadual pada 28 Sept ini bukan indikasi penting bagi pembubaran Parlimen kerana Perdana Menteri boleh membuat pengumuman itu sebelum atau selepas pembentangan itu, sekiranya beliau mendapat ‘ilham’.
“Cuma kesannya pada rang undang-undang, contohnya jika rang undang-undang belanjawan telah dibentang dan sesi perbahasannya masih belum selesai apabila pembubaran Dewan Rakyat diumumkan, perbahasan rang undang-undang itu terpaksa ditangguhkan.
“Tetapi rang undang-undang tidak akan pupus, ia masih sah dan boleh diteruskan perbahasannya pada sidang mesyuarat selepas pilihan raya kelak, tanpa perlu dibentang semula” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama bagi mengulas mengenai prosedur Dewan Rakyat sekiranya pembubaran Parlimen diumumkan ketika sesi mesyuarat sedang berjalan.
– BERNAMA

No comments: