Saturday, 2 June 2012

LUAHAN HATI CEO PROTON KEPADA KAKITANGANNYA......

Letak Jawatan: Luahan Hati CEO Proton Kepada Kakitangannya...

Setelah kedudukannya sering diperkatakan apabila Proton Holdings Bhd. (Proton) dijual, akhirnya Pengarah Urusan syarikat kereta nasional, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir meletakkan jawatan berkuat kuasa 4 Julai ini.
Syed Zainal Abidin yang telah berkhidmat dengan Proton sejak enam tahun lalu merupakan tunjang utama penghasilan kereta global pertama Proton iaitu Preve.
Menurut kenyataan Proton, pengunduran Syed Zainal Abidin adalah atas permintaan sendiri dan pihak Proton menghormati keputusan tersebut.
Turut mengikut jejak Syed Zainal Abidin adalah Ketua Pegawai Kewangan Proton, Azhar Othman berkuatkuasa 6 Julai ini.
Dengan perletakan jawatan tersebut, Pengerusi Eksekutif Proton, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil akan meneruskan tugas untuk mengetuai kumpulan berkenaan.
Ramai berpendapat yang Syed Zainal telah melakukan perubahan yang cukup besar dalam Proton.
Stail kepimpinan beliau dikatakan cukup mengkagumkan, dinamik dan berjaya meletakkan kembali Proton di era kecemerlangan setelah melalui ‘tempoh suram’ yang agak lama.
Tidak hairanlah, sejak menjadi orang nombor syarikat gergasi itu, pelbagai anugerah yang telah diberikan kepada beliau sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Pada November 2008, Syed Zainal Abidin telah dinamakan “Man Automotif of the Year” oleh majalah kereta New Straits Times / Maybank.
Pada April 2010, beliau dinamakan sebagai “Business Leader dalam Sektor Automotif Antarabangsa” pada Anugerah Perniagaan Timur Tengah di Dubai.
Syed Zainal Abidin merima “Anugerah Ketua Eksekutif Bumiputra Masterclass ” (Mei 2010) .Pada bulan Julai 2011, Syed Zainal Abidin meraih “Anugerah Kepimpinan Global di Sektor Automotif” di Anugerah Kepimpinan Global 2011.
Pada 7 Mac 2012, Syed Zainal Abidin menerima Anugerah Kecemerlangan AUAM daripada American Universities Alumni of Malaysia daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lihatlah saja pada gaya dan ‘style’ ucapannya yang ala-ala Steve Jobs semasa majlis pelancaran Proton Exora dan Proton Preve tidak lama dulu.


Dan sempena perletakan jawatannya itu, Syed Zainal ada menulis emel kepada kakitangan syarikat tersebut.
Ikuti ‘luahan hatinya’ itu yang dipetik dari blog http://paultan.org;
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia pada seluruh warga PROTON yang saya kasihi. Semoga warkah saya ini bertemu saudara saudari dalam keadaan sihat sejahtera, ceria dan bersemangat tinggi dalam menjalankan tugas-tugas harian.
Seperti yang semua sedia maklum, saya telah pun melepaskan jawatan saya sebagai Pengarah Urusan Kumpulan PROTON berkuatkuasa 4hb Julai, 2012. Dengan mengambil kira cuti yang saya perlu habiskan, hari ini yakni Khamis 31hb Mei, 2012 adalah merupakan hari terakhir saya berada di PROTON secara fizikal.
Saudara saudari yang saya kasihi,
Terlalu berat untuk saya menulis surat ini sebagai penutup tirai kepada lebih enam (6) tahun perkhidmatan saya di PROTON. Berhari-hari saya mengadap skrin komputer yang kosong kerana ternyata tidak ada perkataan yang dapat menterjemahkan apa yang ada di lubuk hati saya. Bagaimana mungkin dapat saya melepas perginya sesuatu yang telah memberi impak yang dalam dan bermakna kepada kehidupan saya? Bagaimana mungkin dapat saya berjabat tangan dan mengucapkan selamat tinggal pada rakan-rakan yang sudah saya anggap sebagai ahli keluarga sendiri? Tiada ucapan yang dapat saya ungkapkan untuk mengucapkan ribuan terima kasih saya kepada setiap individu yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam membantu saya menjalankan tugas saya sekian lama. Tiada mampu dalam diri saya yang kerdil ini untuk membalas pengorbanan, kegigihan dan masa yang telah di curahkan oleh semua pihak dalam usaha merealisasikan impian PROTON tanpa mengenal lelah dan jemu.
Saudara saudari yang saya kasihi,
Apabila saya imbas kembali detik-detik perjalanan saya di PROTON, saya menganggap sayalah yang sebenarnya beruntung. Saya beruntung kerana dapat menerajui sekumpulan tenaga pekerja yang saya anggap permata-permata yang amat bernilai. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan sekumpulan warga Malaysia yang kental semangatnya. Tatkala masyarakat umum memberi persepsi negatif pada PROTON, saudara saudari masih bangun dinihari untuk ke kilang dengan penuh rasa bangga. Tatkala kita ditertawakan atas kesilapan lalu, saudara saudari menerima kritikan dengan sikap terbuka. Tatkala kita berada di bawah, saudara saudari bangkit dan menyahut cabaran perubahan. Semangat saudara saudari lah yang membakar semangat saya untuk terus berjuang memulihkan PROTON. Kematangan saudara saudari jualah yang telah mematangkan diri saya untuk berani mengambil pendekatan baru demi melonjakkan nama PROTON. Saya yakin berdiri di atas pentas kerana saya berdiri di atas keyakinan saudara saudari. Ternyata hari ini, saya lah yang kehilangan sesuatu yang besar nilainya. Bukan saudara saudari.
Saudara saudari yang saya kasihi,
Saya yakin saudara saudari akan meneruskan perjuangan ini dan mampu membawa nama PROTON ke tahap yang lebih tinggi. Saya percaya saudara saudari akan terus memberikan sokongan yang mampan walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Segalanya tidak mustahil jika kita tanam keyakinan yang tinggi pada setiap sesuatu. Di mana ada kemahuan, disitu pasti ada jalan, Saya telah melihat kehebatan saudara saudari, jadi saya menyeru agar di teruskan kegigihan ini. Percayalah pada diri sendiri, kejayaan pasti memihak kepada saudara saudari dengan izinNya. Saya yakin dengan suntikan dan anjakan paradigma pengurusan baru, di bawah pimpinan YBhg Dato Sri Hj Mohd Khamil Jamil, PROTON akan terus meraih namanya di persada automotif, insyaallah.
Saudara saudari yang saya kasihi,
Sebagai manusia yang dhaif dan lemah dalam pelbagai aspek, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari setiap warga PROTON atas segala keterlanjuran bahasa, tingkahlaku, makan minum, hak-hak saudara saudari yang tidak dapat saya sempurnakan sepanjang perkhidmatan saya di PROTON. Saya pasti terdapat banyak kekhilafan dan serba kekurangan dalam pentadbiran dan pengurusan saya, Yang baik itu datang dariNya, yang buruk itu adalah kelemahan saya sendiri. Saya mohon juga disampaikan kemaafan dan salam saya pada keluarga saudara saudari sekelian. Walaupun saya mungkin tidak berkesempatan bertemu dengan mereka, doa saya akan sentiasa mengiringi mereka.
Hukum alam menetapkan, setiap yang bermula pasti akan berakhir. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan. Walapun jauh dimata, PROTON akan tetap di hati saya. Saya akan sematkan ingatan dan pengalaman berharga ini jauh di lubuk hati saya. Semuga takdir mempertemukan kita semula dilain tempat, dilain masa, insyaallah.
Akhir kalam, saya memetik lirik dari nyanyian Faith Hill dari lakun layar Pearl Harbour dan kata-kata ini saya tujukan khas kepada semua warga kerja PROTON.
    “There You’ll Be”
    When I think back
    On these times
    And the dreams
    We left behind
    I’ll be glad ’cause
    I was blessed to get
    To have you in my life
    When I look back
    On these days
    I’ll look and see your face
    You were right there for me
    In my dreams
    I’ll always see you soar
    Above the sky
    In my heart
    There will always be a place
    For you for all my life
    I’ll keep a part
    Of you with me
    And everywhere I am
    There you’ll be
    And everywhere I am
    There you’ll be
    Well you showed me
    How it feels
    To feel the sky
    Within my reach
    And I always
    Will remember all
    The strength you
    Gave to me
    Your love made me
    Make it through
    Oh, I owe so much to you
    You were right there for me
    ‘Cause I always saw in you
    My light, my strength
    And I want to thank you
    Now for all the ways
    You were right there for me
    You were right there for me
    For always
    Salam hormat dari saya,
    Syed Zainal

1 comment:

Anonymous said...

Memang benar... yang bermula pasti akan berakhir...
Tahniah Yang Mulia Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan begitu juga kepada Yang Mulia Tan Sri Tengku Mahlil, yang telah menaraju PROTON dan berjiwa PROTON..

-rakyat 1Malaysia