Wednesday 23 May 2012

SPRM MINTA MAKLUMAT KES PEMBOCORAN AKAUN PERBANKAN


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan rasuah membabitkan kes pembocoran maklumat akaun perbankan supaya menyalurkannya kepada suruhanjaya itu.
SPRM turut meminta Yang Dipertua Persatuan Kemajuan Insan Malaysia (KESAN), Omar Idris, yang mahu suruhanjaya itu tegas dalam isu berkenaan, tampil bagi membantu siasatan SPRM.
“Untuk makluman, semua maklumat berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan akan disiasat suruhanjaya ini tanpa mengira siapa atau pihak mana yang memberi maklumat.
SPRM akan menyiasat setiap aduan berunsur rasuah yang diterima dengan bebas, telus dan professional.
“Ini seperti mana termaktub dalam Seksyen 7 (a) Akta SPRM 2009 iaitu ‘menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan di bawah akta ini dan menyiasat mana-mana aduan sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya’,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Dalam sidang medianya semalam, Omar meminta SPRM menyiasat dengan teliti kes-kes pembocoran maklumat akaun perbankan yang dilaporkan berlaku kebelakangan ini.
Omar berkata, pembocoran maklumat perbankan tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan integriti perbankan negara dan melanggar hak peribadi pemilik akaun berkenaan.
- BERNAMA

No comments: