Wednesday, 30 May 2012

KEMPEN PRU 13 : SPR LARANG GUNAKAN LUKISAN KARIKATUR..???!!!


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dilarang memasang poster atau banting yang memaparkan karikatur individu atau personaliti.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana bahan kempen seperti itu adalah perkara menyindir, tidak serius, budaya tidak baik serta memperlekehkan seseorang sekali gus tidak sesuai digunakan pada kempen pilihan raya.

Menurutnya, SPR akan menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 4(a) Akta Pilihan Raya 1994 untuk melaksanakan perkara tersebut termasuk menanggalkan atau menurunkan mana-mana poster atau banting seumpama itu.

"Pilihan raya ini satu aktiviti yang serius dan kita tidak boleh benarkan parti-parti politik mempamerkan bahan kempen yang memperlekehkan seseorang dan jika kita dapati ada berlaku perkara seperti itu, SPR tidak akan benarkan.

"Jadi, SPR akan memberi tumpuan kepada bahan-bahan kempen yang melanggar seksyen itu pada pilihan raya umum nanti," katanya selepas taklimat kepada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) peringkat negeri Johor di Senai di sini hari ini. - UTUSAN

No comments: