Wednesday 30 May 2012

HALALKAH RASUAH BOLASEPAK MALAYSIA..???

ISU rasuah yang membelenggu arena bola sepak negara kini jelas menggusarkan peminat tempatan yang selalu mengikuti perkembangan sukan nombor satu di Malaysia ini.

Mencegah lebih baik daripada merawat adalah perumpamaan terbaik dapat digunakan supaya gejala jijik ini dapat dikawal, sekali gus menghalangnya daripada membunuh arena bola sepak tempatan.

Pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika dihubungi Sinar Harian semalam berkata, rasuah bukanlah suatu perkara baru kerana ia telah berlaku sejak 1970-an apabila akhirnya penonton mengambil keputusan memulaukan pasukan termasuk perlawanan yang diadakan.




Kay Kim gusar isu rasuah bola sepak 

“Perkara sama juga dapat dilakukan oleh peminat kini dengan memulaukan perlawanan mahupun pasukan seandainya terdapat unsur penipuan supaya memberi pengajaran kepada pemain mahupun mereka yang terlibat.

“Jika rasuah masih berlarutan, penonton akhirnya akan kecewa dengan pasukan dan memberi kesedaran kepada pemain supaya bermain dengan ikhlas dan bersungguhsungguh dalam perlawanan,” katanya ketika mengulas mengenai pendedahan akhbar ini semalam mengenai pemain dalam sebuah pasukan di utara Semenanjung dikhuatiri terlibat dengan rasuah kerana gagal mempamerkan aksi sebenar meskipun pernah mewakili negara di pentas antarabangsa.

Mengakui tawaran yang diberikan dalam jumlah yang tinggi, beliau menyifatkan ia antara penyebab pemain mahupun pengadil sukar untuk menolak ganjaran ditawarkan dengan memastikan perlawanan berlangsung mengikut percaturan yang telah sedia dirancang.

“Penonton mahupun penyokong kini sudah semakin bijak untuk menilai, meskipun mereka tetap hadir ke stadium tetapi sekadar tanda sokongan kepada negeri masing-masing,” katanya yang mengakui gusar mengenai mutu bola sepak tempatan kini.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebuah pasukan bola sepak negeri di utara Semenanjung berkemungkinan terlibat skandal rasuah dengan sengaja tewas dalam perlawanan walaupun dibarisi pemain yang pernah bermain di pentas antarabangsa.

Bagi rekod, Liga Malaysia pada 1994 pernah dipalit titik hitam apabila seramai 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan. Akibatnya 58 daripada mereka dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  -   Sinar Harian

Seramai 21 pemain dan jurulatih diberhentikan, manakala beberapa pemain dibuang daerah dan seumur hidup tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

No comments: