KUALA LUMPUR - Walaupun dikecam pelbagai pihak kerana tindakannya memburukkan negara sendiri dalam media Indonesia pada minggu lalu, namun Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez langsung tidak berasa kesal apabila sekali lagi menjaja cerita sama kepada media.
Kali ini, Irene membuat tuduhan pula kononnya rakyat Bangladesh di negara ini, turut mengalami nasib sama seperti pekerja migran dari Indonesia semasa temu bual dengan wartawan dari portal berita The Malaysian Insider.
Kenyataan beliau yang disiarkan dalam portal berita tersebut segera menarik perhatian media asing apabila ia dipetik dan disiarkan semula dalam portal berita The Daily Star/AsiaNewsNetwork(ANN) di Dhaka, Bangladesh pada Ahad lalu.
Berita bertajuk Malaysian cops prey on migrant workers itu boleh dibaca oleh pengguna Internet di seluruh dunia kerana ia turut dimuat naik dalam Yahoo!News Malaysia.
Dalam kenyataan terbaru itu, Irene mendakwa pekerja asing di Malaysia selalu dicabuli oleh penguat kuasa undang-undang dan dipaksa membayar rasuah.
Beliau turut menyatakan enam contoh rasuah membabitkan rakyat asing yang dijemput masuk bekerja ke negara ini.
Menurut The Daily Star/ANN, kenyataan Irene mengenai rakyat Bangladesh itu telah mendapat perhatian kerajaan negara berkenaan kerana warga Bangladesh dikatakan membayar sekitar 5 lakh (RM32,000) untuk bekerja di Malaysia.
Dalam temu bual selama 90 minit itu, Irene berkata, Malaysia tidak mempunyai rangka kerja berdasarkan undang- undang atau tiada undang-undang untuk melindungi pekerja asing.
Tambah beliau, kerajaan juga menyokong diskriminasi terhadap pembantu rumah dan pekerja ladang apabila tidak memasukkan golongan itu dalam peraturan gaji minimum yang baru dikeluarkan.
"Kebanyakan pekerja asing tidak mempunyai dokumen dan berdepan dengan masalah kerana majikan atau pihak yang membiayai kemasukan mereka bertindak menyimpan pasport pekerja berkenaan," katanya.
Jika semasa temu bual dengan akhbar The Jakarta Post yang disiarkan pada 7 Mei lalu, Irene mendakwa majikan di Malaysia melanggar undang-undang dengan memberi rasuah kepada polis dan mahkamah, kali ini beliau mengecam pula anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dengan menuduh mereka sering mengugut pekerja asing.
"Pekerja asing selalu didatangi oleh agensi penguat kuasa seperti Rela yang bertanya tentang dokumen mereka. Apabila pekerja asing meminta melihat kad kuasa anggota Rela berkenaan, mereka akan ditampar dan dipukul selain wang mereka pula dirampas.
"Kami tidak dapat mengesan pegawai terlibat melakukan kesalahan ini kerana mereka enggan mendedahkan identiti. Sebab itu, kami tidak dapat membawa isu rasuah ini ke peringkat tertinggi di samping kegagalan polis melindungi pekerja asing walaupun mereka sudah mengadu tentang kesulitan dihadapi," dakwanya.
Menurut Irene lagi, satu sistem yang teratur perlu diwujudkan untuk memperbaiki situasi dan memastikan agensi penguat kuasa bersikap lebih bermaruah.
Beliau yang berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat isu tersebut juga bertegas enggan memohon maaf terhadap kenyataan yang dibuat, sebaliknya mendesak kerajaan dan pihak yang mengkritiknya supaya meminta maaf kepadanya.
Pada 7 Mei lalu, Irene mengeluarkan kenyataan kepada media di Indonesia bahawa Malaysia bukanlah negara terbaik untuk rakyat Indonesia mencari rezeki dan kenyataannya mendapat kritikan pelbagai pihak di negara ini sehingga ada NGO tampil membuat laporan polis meminta beliau disiasat dan memohon maaf.
No comments:
Post a Comment