Friday, 4 May 2012

APA KATA DR. MASHITAH MENGENAI BERSIH 3.0

Maka berkokoklah beberapa pemimpin pembangkang bahawa matlamat menganjurkan Bersih 3.0 telah berhasil. Walaupun hasil sebenarnya akan terus dipertikai, yang jelas, peristiwa Sabtu lalu ialah huru-hara daripada tindakan liar puak anarkis, kerosakan harta benda awam, kesusahan ke atas penjaja, pemandu teksi dan pengguna jalan raya, serta kecederaan terhadap anggota polis, pekerja media dan orang awam.

Di manakah bersihnya kalau undang-undang dan perintah mahkamah tidak dilanggar? Bersihkah kerja memukul anggota polis, wartawan dan jurugambar? Melompat atas kereta polis, menterbalikkannya serta menyepak motosikal anggota polis wanita bukan kerja bersih.Tidak ada apa yang bersih mengenai kekotoran yang ditinggalkan di merata tempat dan kerugian jutaan ringgit yang ditanggung pekedai dan peniaga.

Mencemar imej negara di mata dunia juga kerja orang berhati busuk, bukannya bersih. Walaupun dilaporkan ada yang bersolat Zohor, mungkin lebih ramai yang tidak bersolat pada hari itu kerana lebih mementingkan berhuru-hara. Ini tentu sekali perbuatan berdosa.Seorang wartawan yang hampir dipijak perusuh memberitahu saya perasaan ngerinya sewaktu menjalankan tugas. Perusuh bagaikan orang-orang ganas yang tidak waras lagi. Mereka cuma tunggu waktu diberi isyarat untuk merempuh polis dan ‘menawan’ Dataran Merdeka.

Seorang pemimpin pelajar yang pernah mengikuti kursus berdemonstrasi anjuran PKR memberitahu bahawa senario yang perlu diwujudkan ialah worst is the best. Maknanya, lagi kecoh dan ganas lagi baik dari segi impak.Jelas bahawa tujuan sebenar Bersih 3.0 bukanlah pilihan raya yang bersih, tetapi mewujudkan persepsi negara kucar-kacir dan kerajaan tidak mampu membendungnya.

Tun Dr Mahathir Mohamad percaya matlamat demonstrasi ialah menjatuhkan kerajaan sedia ada dan digantikan dengan kerajaan yang disokong Barat. Bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar pula berkata ada unsur pro-komunis dalam kalangan pencetus kekacauan.Sekarang, pemimpin pembangkang sewenang-wenang mengaku bukan mereka yang bertanggungjawab. Habis tu siapa? Anwar Ibrahim dan Azmin Ali kata mereka tidak suruh rempuh. Lim Guan Eng kata perusuh tak salah, polis yang salah. 

Rakyat bukan bodoh dan buta. Mereka boleh melihat perangai buruk dan sandiwara pembangkang: baling batu tapi sorok tangan. Saya percaya mereka akan dihukum rakyat majoriti atas segala tindakan itu dalam pilihan raya akan datang.

Pada saya, ada empat sebab utama kenapa Bersih 3.0 diadakan. Pertama, pakatan pembangkang tidak bersedia hadapi PRU13. Walaupun mereka kata bersedia, hakikatnya perbalahan antara PKR, Pas, DAP dan beberapa parti pro-pembangkang di banyak negeri berhubung pembahagian kerusi agak meruncing. Mereka perlu lebih banyak masa untuk selesaikan kemelut ini. 

Bersih 3.0 bertujuan melambatkan PRU13.Kedua, tekanan rakyat terhadap Kerajaan-kerajaan Negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan kerana gagal mentadbir dengan baik. Rakyat di negeri-negeri pembangkang juga kerap berdemonstrasi menuntut janji-janji daripada pilihan raya dahulu ditunaikan sebelum membuat janji-janji baru. Bersih 3.0 adalah satu cara mengalih tumpuan kemarahan rakyat di negeri-negeri tersebut.

Ketiga, pakatan pembangkang tidak mampu menjawab dan menangani pelbagai skandal yang dihadapi pemimpin mereka. Pelbagai pihak, termasuk penyokong pembangkang sendiri, menuntut jawapan kepada hubungan Anwar dan isteri Azmin, Shamsidar serta orientasi seks Anwar. Juga pembelian dan pemilikan saham jutaan ringgit oleh Azmin, kes khalwat Ustaz Badrolamin Baharon dan satu lagi kes seks dalam tandas membabitkan seorang pemimpin tinggi PKR, Mohamed Sabu dengan isteri kawannya, isu pembohongan MohammadNizar Jamaluddin, hubungan retak Datuk Seri Azizan Razak dengan beberapa Exconya sendiri, isu Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding dalam PRU-13, desakan supaya Nik Aziz Nik Mat letak jawatan dan kemelut pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Sekali lagi, Bersih 3.0 adalah untuk mengalih perhatian rakyat daripada memberi tumpuan kepada isu-isu tersebut.

Keempat, populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang meningkat. Program turun padang ke seluruh negara mendapat sambutan hangat. Sokongan kaum Cina kepada Ah Jib Gor dan dalam kalangan penduduk India semakin padu. Inilah yang menakutkan pakatan pembangkang. Penganjuran Bersih 3.0 bertujuan menyekat populariti Najib, tapi sebaliknya menjadikan rakyat bertambah mual dengan sikap pembangkang yang melampau.

Pendirian Naib Pengerusi DAP Senator Tunku Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas Nasaruddin Mat Isa mengenai penganjuran demonstrasi dan pemimpin bermasalah moral membuktikan bahawa kepimpinan pembangkang tidak sepakat. Saya juga bersetuju dengan seruan penganjur S Ambiga yang mahu polis ambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab mencetuskan huru-hara pada Sabtu lalu. Sebenarnya, beliau merujuk kepada Anwar, Azmin dan dirinya sendiri.-SH

No comments: