KUALA LUMPUR – Kunjungan hormat delegasi Hamas yang diketuai oleh Osama Hamdan selaku Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa Hamas kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, petang tadi secara tidak langsung telah menjawab tohmahan pembangkang selama ini.
Semalam, di Parlimen isu sokongan kepada Israel dibangkitkan dan UMNO/Barisan Nasional (BN) telah dituduh tidak mengiktiraf perjuangan Hamas dan gagal menjalin hubungan dengan pihak terbabit.
“UMNO sentiasa menyokong perjuangan Hamas dalam menentang keganasan dan memastikan kemerdekaan rakyat Palestin dan tuduhan pembangkang terhadap kerajaan sengaja diada-adakan bagi menimbulkan persepsi kononnya UMNO dan BN tidak berbuat demikian,” jelas Tengku Adnan.
Dalam pertemuan tersebut, beliau telah meminta agar Hamas dan Fatah dapat mengenepikan idealogi masing-masing dan bersatu dalam menentang keganasan yang dilakukan oleh Israel.
“Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saudara-saudara Islam kami di Palestin dan berharap agar Hamas dan Fatah dapat bersatu kerana apabila berpecah, pelbagai kekacauan boleh berlaku dan anasir-anasir luar akan mudah mengambil kesempatan.
“Di Malaysia juga, kita percaya pada kesatuan dan ia diaplikasikan dengan menyatukan pelbagai kaum, pelbagai etnik yang berbeza budaya dan agama bagi memastikan keamanan negara terpelihara,” katanya.
Terang Tengku Adnan lagi, situasi politik tempatan turut dikaitkan dengan keadaan di peringkat antarabangsa termasuklah hubungan dengan Hamas dan manipulasi pembangkang terhadap Israel sendiri.
“Ketua pembangkang sendiri iaitu Anwar Ibrahim pernah bersama-sama dalam UMNO dan tahu mengenai gerak kerja kita tetapi dia sendiri boleh melemparkan tuduhan sedangkan kerajaan Malaysia sentiasa menolak keganasan dan menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Timbalan Presiden PKR juga dilaporkan berkata bahawa keengganan UMNO untuk mengiktiraf Hamas sekali gus menafikan suara dan aspirasi rakyat Palestin, namun dengan kunjungan tersebut telah terbukti bahawa dakwaannya adalah tidak benar.
Dalam ucapan balasnya, Osama memaklumkan rasa penghargaan terhadap kerajaan Malaysia dan UMNO yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin.
“Alhamdulillah, negara-negara Islam termasuklah Malaysia memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan ini secara tidak langsung memberi kekuatan kepada kami,” katanya.
Turut serta dalam kunjungan hormat seramai enam orang ini adalah Pengerusi Badan Kebudayaan Palestin di Malaysia, Mohamad Husin.
– MediaUMNO
No comments:
Post a Comment