Sunday 4 March 2012

APAKAH KEPUTUSANNYA.... DI PECAT ATAU DIBUBARKAN ATAU..????!!!


ALOR SETAR 4 Mac - Pas Pusat masih belum dapat membuat keputusan muktamad bagi menyelesaikan krisis dalaman parti itu di negeri ini selepas mesyuarat mulai pukul 9 malam semalam ditangguh kira-kira pukul 12 tengah malam.


Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub berkata, pihak yang bertelagah iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi telah mengemukakan pandangan dan hujah masing masing berhubung isu yang timbul.


Sehubungan itu, katanya, selepas mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, Jawatankuasa Pas Pusat meneruskan perbincangan bagi mendapatkan jalan penyelesaian muktamad dalam tempoh terdekat.


''Keputusan itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pagi ini. Pengumuman mengenainya sama ada akan di buat di sini atau di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dihentikan seketika di Kediaman Rasmi Menteri Besar Seri Mentaloon di sini tengah malam ini.


Pertemuan tertutup yang turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa ahli-ahli Jawatankuasa Pas Pusat merupakan kali kedua bagi membincangkan isu tersebut selepas mesyuarat khas Pas di Kuala Lumpur kelmarin gagal menemui jalan penyelesaian.


Mesyuarat malam ini melibatkan pertembungan empat mata kali pertama antara Azizan dan Phahrolrazi sejak pergolakan dalaman parti tersebut heboh diperkatakan mulai pertengahan bulan lalu.


Pertemuan itu bagaimanapun dikawal ketat apabila beberapa petugas keselamatan menyaring kemasukan semua individu di pintu pagar Seri Mentaloon.


Mereka juga dikatakan tidak membenarkan individu yang menghadiri mesyuarat itu membawa masuk alat perakam termasuk telefon bimbit dipercayai bagi mengelakkan perjalanan mesyuarat terlepas keluar dan disebarkan kepada umum.


Petugas media yang menunggu seawal pukul 8 malam juga tidak dibenarkan memasuki ke kawasan kediaman rasmi menteri besar.


Para pemimpin Pas Pusat seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dilihat antara yang terawal memasuki kediaman rasmi menteri besar kira kira pukul 8.15 malam.


Beberapa Exco kerajaan negeri seperti Datuk Ir. AmirudDin Hamzah; Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Abdul Ghani Ahad juga kelihatan memasuki Seri Metaloon 15 minit kemudian.


Phahrolrazi tiba pada pukul 8.50 malam dan ketika disapa media dan ditanya harapannya, beliau berkata: ''Saya yakin boleh menang.''


Azizan tiba 30 minit kemudian dan Abdul Hadi terakhir memasuki Seri Mentaloon kira kira pukul 9.50 malam sebelum pintu pagar ditutup petugas keselamatan. - UTUSAN

No comments: