Saturday 7 January 2012

PINJAMAN BANK DUNIA HANYA UNTUK PROJEK PEMBANGUNAN...!!!


SHAH ALAM 7 Jan. - Pinjaman Bank Dunia hanya diberikan sebagai modal projek-projek pembangunan dan ia tidak boleh digunakan bagi membiayai program pemberian wang bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli), Tan Sri Ramon Navaratnam.

Beliau berkata, prestasi ekonomi Malaysia yang baik membolehkan pembiayaan bantuan kerajaan BR1M bagi isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

"Bank Dunia menyediakan pinjaman dengan syarat-syarat tertentu dan satu pertimbangan paling penting adalah ia hanya sebagai modal projek-projek atau program pembangunan.

"BR1M bukanlah satu perkara sama ada projek pembangunan mahupun program pembangunan. Pemberian geran (BR1M) adalah geran yang dibiayai daripada pulangan hasil dalam akaun semasa belanjawan. Geran ini adalah sebahagian daripada peruntukan tahunan kerajaan,” katanya.

Ramon berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa kerajaan mampu melaksanakan program BR1M berikutan kekuatan ekonomi dalaman negara yang menjana hasil memberangsangkan dan menafikan dakwaan kerajaan mendapatkan pinjaman Bank Dunia untuk membiayainya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan semua isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan adakan mendapat bantuan sekali saja sebanyak RM500 di bawah program BR1M.

Ramon berkata, prestasi ekonomi Malaysia yang baik membolehkan pembiayaan bantuan kerajaan BR1M bagi isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan. - BERNAMA


No comments: