Monday, 21 November 2011

SIDANG DUN PERAK KE-12 : KERAJAAN JANGKA PEROLEHI HASIL RM 865.12 JUTA TAHUN DEPAN



Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam perbentangan Bajet 2012 hari ini mengumumkan anggaran hasil dan penerimaan pembangunan yang bakal diperoleh negeri itu sepanjang tahun hadapan adalah sebanyak RM 865.12 juta.
Malah Zambry berkata, amaun itu bakal diperoleh melalui Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil iaitu sebanyak RM 817.12 juta selain daripada Terimaan Pembangunan yang berjumlah RM 48 juta.
Dengan perbentangan bajet yang bertemakan ‘Mensejahterakan Rakyat dan Memakmurkan Negeri’, kerajaan negeri telah meletakkan 4 fokus utama dalam proses untuk mentransformasikan Perak iaitu untuk meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan, memantapkan pembangunan modal insan, melengkapkan infrastuktur dan kemudahan awam serta mensejahterakan kehidupan rakyat.
Dalam pada itu, melalui bajet yang sama, kerajaan negeri menganggarkan lebih RM 594.26 juta bagi Perbelanjaan Mengurus manakala RM 321 juta lagi dianggarkan untuk Perbelanjaan Pembangunan.
“Satu akaun khusus akan dibuka bagi tujuan untuk kemasukan hasil yang tidak menepati prinsip syariah seperti hasil cukai hiburan yang melibatkan cukai tiket pawagam, kelab malam dan lumba kuda, lesen dan bayaran pendaftaran meliputi lesen kedai tuak, panggung wayang, snuker dan permit hiburan, jualan tuak dan beberapa keuntungan  yang diterima melalui pembiayaan pinjaman dan pelaburan secara konvensional dimana keseluruhannya dianggarkan sekitar RM 16 juta.
“Bagaimanapun akaun ini akan tetap menjadi sebahagian Akaun Hasil Disatukan dan akan digunakan untuk tujuan membiayai projek pembangunan.
Menyentuh soal Perbelanjaan Mengurus pada 2012, menurut Zambry jumlah yang dicadangkan itu meningkat sebanyak RM 4.93 juta atau 0.84% jika dibandingkan dengan tahun lalu iaitu sebanyak RM 589.33 juta.
Bagi Perbelanjaan Pembagunan pula, kerajaan negeri sekali lagi menyaksikan peningkatan dalam amaunnya dimana penambahan sebanyak RM 48 juta ataupun 17.58%.
“Jadi Bajet 2012 ini bakal melibatkan jumlah belanjawan sebanyak RM 915.26 juta dimana ia akan dibiayai oleh anggaran hasil dan terimaan pembangunan, ekoran dari itu dijangka defisit akan berlaku dimana kita anggarkan sebanyak RM 50.14 juta.
“Bagaimanapun kerajaan negeri sedar akan mengalami defisit namun kita yakin ia akan dapat diselesaikan dengan pengurusan cemerlang sepertimana yang berlaku pada bajet tahun lalu dimana kita mempunyai lebihan atau surplus.
Tambah Zambry, bajet kali ini sudah tentu telah mengambilkira semua aspek dalam usaha untuk memastikan negeri serta rakyatnya dapat maju dan membangun dengan seiiring.
Malah, Bajet 2012 juga dilihat dibentuk seiiring dengan Belanjawan Negara 2012 dimana ia dianggar sebagai satu usaha yang baik untuk kesejahteraan rakyat.
“Ini bukan bajet omong kosong, ini bukan bajet angan-angan, juga bukan bajet yang menjanjikan bulan dan bintang, bukan juga bajet ‘buku ungu, buku coklat ataupun buku jingga’ tetapi ini adalah bajet aspirasi rakyat, inilah Bajet Kita Bersama,” tambah Zambry sebagai mengakhiri perbentangan Bajet 2012.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.30 petang hari ini dan kembali bersidang pada Selasa.
Sumber ::::  Perak Today

No comments: