Sunday, 13 November 2011

MATA KAIL C-HOOK ~ PERAK NEGERI PERTAMA


PERAK bakal menjadi negeri pertama memperkenalkan mata kail berbentuk ‘C’ (C-hook) yang mendatangkan kesan paling minima terhadap kecederaan penyu serta hidupan laut terancam, kata Pengarah Perikanan Negeri Perak, Sani Mohd Isa.
Menurutnya, mata kail C-hook tersebut dicipta selaras dengan matlamat kerajaan yang menggalakan aktiviti kreatif dan inovasi dikalangan penduduk di negara ini.
“Bagaimanapun apa yang lebih penting, mata kail tersebut bakal menggantikan mata kail jenis ‘J-hook’ yang digunakan secara meluas oleh nelayan pancing dan rawai seluruh negara.
“Mata kail J-hook dikatakan menjadi penyebab terhadap kematian penyu serta beberapa spesies haiwan marin terancam lain apabila ianya ditelan disebabkan kecederaan organ dalaman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan C-hook dan Aksesori Rawai di Pusat Pengembangan Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan.
Terdahulu Sani telah menyampaikan masing-masing 400 mata C-hook dan aksesori rawai kepada lima orang nelayan dari Pengkalan Nelayan Teluk Muroh di sini sebagai projek perintis penggunaan peralatan tersebut.
Hadir sama Ketua Pusat Perikanan Tangkapan, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Kampung Acheh, Rosidi Ali dan Ketua Daerah Perikanan (KDP) Manjung yang juga, Ketua Pusat Pengembangan Perikanan Kampung Acheh, Ahmad Redzuan Ramli.
Mengikut syarat eksport negara Kesatuan Eropah (EU) terhadap produk perikanan menggunakan peralatan yang menjejaskan penyu serta hidupan marin terancam akan dihalang memasuki pasaran negara tersebut.
“Sebelum produk perikanan yang dieksport ke EU disekat masuk, pihak Jabatan Perikanan menerusi Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan peralatan terbaru ini.
“Selain daripada itu, ianya juga diharap mampu mengurangkan kadar kematian penyu dan spesies lain yang sering termakan umpan pancing dan rawai.
“Hasil kajian mendapati mata kalil C-hook hanya mengenai bahagian tepi mulut penyu atau ikan sahaja dan mudah ditanggalkan serta mendatang kecederaan paling minima sahaja,” katanya.
Menurutnya, program kali ini merupakan lanjutan daripada promosi dan demonstrasi penggunaan C-hook peringkat negeri Perak yang diadakan pada 23 dan 24 Mac lalu.
Menurutnya, sekiranya projek perintias tersebut berjaya sepenuhnya, ianya akan diperluaskan di seluruh negara sebelum ianya dicadang untuk diwajibkan dikalangan nelayan pancing serta rawai termasuk peminat sukan memancing. 
Sumber : Perak Today

No comments: