Sunday, 13 November 2011

KENAPA PKNP MASIH TIDAK BERTINDAK....???



Impian lebih 100 penduduk Taman Kamunting Aman untuk meneruskan kehidupan selesa setiap hari bertukar kepada mimpi ngeri yang tiada kesudahannya.
Duit telah habis dilaburkan untuk membeli rumah yang kononnya dibina atas bekas tanah kebun rupa-rupanya hanyalah helah pihak pemaju semata-mata untuk meyakinkan pembeli yang rata-ratanya golongan bumiputra apatah lagi setelah mengetahui tapak tanah projek berkenaan adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk)
Hakikat sebenarnya, kawasan taman perumahan itu rupa-rupanya adalah bekas tapak lombong lama yang dipadatkan dengan pasir dan kemudian dimajukan dengan membina beberapa deretan rumah.
Dapat dilihat lubang-lubang akibat pergerakan tanah di bawah rumah wujud di setiap kediaman yang ada, malah ada juga rumah yang seperti bangunan yang menanti masa untuk roboh sepenuhnya.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk taman itu, Shirun Ariffin,  rumah itu telah mula diduduki sekitar tahun 2008 namun setelah beberapa bulan diduduki masalah-masalah retakan akibat tanah mendap mula muncul.
“Masalah rumah disini memang teruk, saya anggap ia berpunca dari tapak tanah lombong. Jadi kami tidak puas hati, walaupun beberapa kali aduan kami telah buat sama ada kepada pihak pemaju, PKNP mahupun pihak PBT namun tiada tindakan yang dibuat.
“Kami beli rumah itu pada mulanya sebab kami yakin tanah itu milik PKNP dan dimajukan syarikat Antaraya namun bila ada masalah macam ini pihak PKNP seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Tiada keputusan dibuat sebaliknya melengah-lengahkan tindakan yang perlu diambil, malah asyik cakap nak baiki kerosakan namun yang dibaiki hanyalah kerosakkan kecil bahagian retakan bawah tanah atau dinding rumah langsung diabaikan.
Tambahnya, sebelum ini beberapa perjumpaan telah dilakukan sama ada antara penduduk dengan pemaju ataupun pihak PKNP mahupun pemimpin tempatan namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.
Jelas Shirun lagi, perjumpaan bersama Pengarah PKNPk, Datuk Samsudin Hashim juga telahpun diadakan namun seperti tiada apa yang berlaku.
Malah katanya, kehidupan mereka saban hari seperti ‘Menunggu Buah yang tidak Gugur’, setiap hari hanya menanti tindakan dari pihak berwajib.
“Perkara ini saya telah rujuk terus kepada pihak atasan. Bila saya adu kepada PKNP kemudian mereka menjawab telah usulkan kepada bahagian jurukur tanah untuk  periksa kualiti tanah, tetapi sampai sekarang tak datang-datang pun.
“Setahu saya jika keadaan rumah yang retak malah ada yang pecah dan berlubang seperti ini, pihak pemaju dan PKNP selaku pemilik tanah perlu bertanggungjawab. Satu tindakan yang cepat, tulus dan ikhlas perlu dilakukan.
“Memang boleh baiki namun hanya boleh bertahan selama dua bulan sahaja namun selepas ini perkara yang sama jadi balik sebabnya struktur tanah yang lembut dan bergerak dibawa air sekiranya berlaku hujan. Ini yang kami terkilan,” katanya
Jelas Shirun lagi, pembelian fasa pertama rumah di kawasan perumahan itu telah melibatkan kos lebih RM 80 ribu dan jumlah itu dikatakan lebih banyak untuk rumah di fasa dua dan seterusnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Shuhaida Abdul Aziz memberitahu selepas setahun dia menduduki kawasan itu dinding rumahnya mula retak malah lebih teruk berlubang akibat hakisan tanah mendpat dibawah bangunan rumah terbabit.
Katanya, ketika membeli rumah berkenaan pemaju menyatakan bahawa  tanah itu adalah bekas tanah kebun namun situasi yang sebenarnya pihak kontraktor dan pemaju dilihat mengorek  tanah dan kemudan menggantikannya dengan tanah lembut sebelum memacakkan tiang untuk membuat  rumah.
“Perkara itu kami lihat sendiri ketika kerja-kerja pembinaan rumah fasa baru berhampiran malah ketika itu saya sempat menemui Pengurus Projek yang pada mulanya enggan mengulas mengenai kualiti sebenar tanah di kawasan itu.
“Setelah mendesak beberapa kali barulah pengurus itu memberitahu saya bahawa sebenarnya rumah ini tidak boleh dibuat apa-apa kerana kedudukan tanah rumah ini dalam keadaan tanah bergerak iaitu bermaksud apabila hujan, pasir yang ditambak di bawah rumah ini akan dibawa air jadi kesannya hakisan mendap akan berlaku.
“Namun ketika saya tanya, mengapa pihaknya membuat pembinaan di atas tanah sebegini lalu jawabnya dia hanya menjalankan tugas,” jelasnya
Susulan dari itu, sudah jelas bahawa pihak pemaju sememangnya sudah maklum mengenai perkara itu namun masih meneruskan kerja-kerja pembinaan tanpa memikirkan risiko yang bakal ditanggung oleh pemilik rumah.
Lebih teruk, sekiranya pihak pemaju pun sedia jelas mengenai perkara itu adalah tidak logik untuk pihak PKNP tidak tahu menahu kerana segala kelulusan pembinaan pastinya perlu mendapat pemantauan dari agensi kerajaan itu.
Persoalannya adakah kemungkinan berlakunya “transaksi wang lain” wujud antara pihak pemaju dan PKNP sehingga menyebabkan kedua-duanya seolah-olah menutup sebelah mata dan memekakkan telinga apabia perkara ini diadukan.
Apa yang dilihat, rata-ratanya penduduk disini mahukan keadilan selain penjelasan kukuh dari pihak PKNP dan pemaju.
Sebagai agensi kerajaan, PKNP perlu melunaskan tanggungjawa mereka kerana ia sudah tentu mencemarkan imej perkhidmatan awam sedangkan sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tidak habis-habis menggesa penjawat awam supaya bekerja dengan lebih cekap dan effisien.
Jika ini yang berlaku, nampak gayanya segala usaha kerajaan negeri sia-sia kerana memang jelas PKNP cuba melengah-lengahkan perkara ini atau mungkin ini menunggu sehingga berlakunya kemalangan jiwa maka barulah terhegeh-hegeh nak bertindak.
Tuntutan penduduk disini jika difikirkan balik bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilunaskan iaitu sama ada pemaju atau pihak PKNP menyediakan rumah baru yang lebih selamat dan selesa di kawasan baru atau pun membayar ganti rugi yang setimpal dengan kos.
Jika nak dibandingkan kehidupan penduduk disini yang seolah-olah memperjudikan nyawa dirumah sendiri, tuntutan itu hanya sekecil kuman sahaja.
Bagaimanapun, Setiausaha Sulit Kanan kepada MB, Datuk Ismail Safian yang sempat mendengar keluhan penduduk terbabit memberitahu pihaknya telah memanjangkan perkara itu ke Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk tindakan susulan.
Malah katanya, sebagai salah satu agensi kerajaan, PKNP sepatutnya membuat keputusan yang lebih komprehensif dan bukannya membuat tindakan yang hanya memberi kesan jangka pendek semata-mata.
“Kita tidak tahu masalah sebenar yang PKNP alami tapi mereka sepatutnya membuat satu keputusan yang baik dan bukannya hanya bertindak seperti melepaskan batuk ditangga. Perkara ini perlu diselesaikan dengan komprehensif jadi selepas ini tidak ada lagi aduan berkaitan perkara yang sama berlaku.
“Setelah melihat kawasan ini, saya lihat memang penduduk disini duduk di sebuah rumah yang boleh membahayakan nyawa… ada rumah yang saya lihat seolah-olah menunggu masa untu roboh sahaja… jadi tindakan cepat perlu dibuat,” katanya.
Tambah Ismail, untuk peringkat awal satu pertemuan antara penduduk dengan Majlis Daerah akan dilakukan.
Berikutan adalah rentetan aduan penduduk:
8/5/2011- Perjumpaan dengan Pengarah PKNP bersama dua wakil iaitu En. Azizul dan En. Efandi di Taman Kamunting Aman.
21-27/5/2011 -Kakitangan PKNP datang membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah.
13/6/2011 – Pengerusi penduduk dan beberapa wakil  adakan perjumpaan dengan Pengarah PKNP di Bangunan PKNP, Ipoh.
21/6/2011 – Penduduk hantar Memo kepada Menteri Besar di SUK.
12/7/2011 – Perjumpaan dengan Adun Trong, Datuk Rosli Husin
16/7/2011 – Perjumpaan dengan Ketua Umno Bhg Taiping, Datuk Salimin Ahmad Shaffie
27/7/2011 – Aduan kepada Sinar Harian
9/8/2011 – Lawata YDP Majlis Daerah Taiping, Adun Trong dan Penyelaras BN ke Taman Kamunting Aman
10/8/2011 – Mesyuarat bersama YDP, Ahli Majlis, Pemaju dan pihak PKNP ( keputusan diberitahu pada 24/8/2011)
24/8/2011 – Keputusan tidak dikeluarkan, Perjumpaan dengan Adun Trong.
20/9/2011 – pihak PKNP melawat kawasan perumahan sekali lagi.
23/9/2011 – pihak PKNP dan pemaju serta dua jurutera datang melawat untuk selesaikan masalah namun hanya baiki kerosakan kecil seperti paip dan rekahan kecil yang ditampal dengan simen sahaja.
Asam Kumbang-20111112-00143Asam Kumbang-20111112-00146Asam Kumbang-20111112-00147Asam Kumbang-20111112-00148
Lihat laporan penuh di Perak Today di sini

No comments: