Sunday 7 April 2019

BENARKAH ADA MENTERI KECEWA LANTAS BUKA RAHSIA KABINET ???


Menarik bila membaca laporan akhbar The Star hari ini yang bertajuk ‘Government forced to retract treaty’ (‘Kerajaan dipaksa untuk menarik balik perjanjian’).


Laporan ini memetik seorang sumber yang tidak mahu dikenali yang menceritakan bahawa perbincangan Jemaah Menteri mengenai isu Statut Rom berlangsung dalam suasana panas dan memakan masa berjam-jam sebelum keputusan menarik diri dibuat.

Kata sumber ini, 90 peratus daripada Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan Statut Rom kerana ia dikatakan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi terdapat beberapa orang yang merasakan perlu menarik diri untuk kekal berkuasa.

Seorang lagi sumber yang tidak mahu dikenali menceritakan bahawa Ahli Jemaah Menteri yang tidak bersetuju kerajaan meratifikasi Statut Rom takut ia akan menjejaskan Raja-Raja Melayu dan takut rakyat tidak percaya kepada kerajaan akibat darinya.

Pada pandangan saya, tindakan membocorkan butiran perbincangan yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet oleh mana-mana Menteri, apa lagi tanpa mendedahkan identiti mereka, adalah bercanggah dengan etika kerahsiaan dan kebertanggungjawaban.

Tambahan pula bila didedahkan bahawa 90 peratus daripada Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan Statut Rom yang membawa makna bahawa, daripada 28 Ahli Kabinet, Menteri yang bersetuju adalah 25 manakala Menteri yang tidak bersetuju pula adalah 3.

Apa tujuan pembocoran ini dilakukan selain menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak sihat, umpamanya diguna untuk menunjukkan bahawa Perdana Menteri adalah seorang yang lemah atau yang kuat bergantung kepada persepsi masing-masing.

Dapat dilihat daripada nada kedua-dua sumber yang bercakap ini, boleh difahami bahawa mereka merasa kecewa dengan keputusan menarik diri dari Statut Rom dan kebetulannya mereka yang paling meluahkan rasa kecewa mereka dengannya ialah pemimpin DAP.

Ahli Parlimen DAP dari Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, dilaporkan oleh Sinar Harian menyebut secara terang-terang bahawa beliau sangat rasa kecewa tetapi menambah bahawa keputusan itu bukan kemahuan Kabinet tetapi kerana mereka rasa dipaksa oleh keadaan.    

Ahli Parlimen DAP dari Klang, Charles Santiago, pula dilaporkan oleh Free Malaysia Today menyalahkan Tun Dr Mahathir kerana membuatkan Kabinet kelihatan lemah dan bertanya mengapa beliau yang sebelum ini berani menghapuskan imuniti Raja-Raja kini berubah.

Ahli Parlimen DAP dari Batu Kawan, Kasthuri Patto, jauh lebih dahsyat dengan mengeluarkan tweet yang mensasarkan istilah-istilah “Bodoh”, “Bangang” dan “Selfish” kepada BN dan PAS yang didakwa menghalang kerajaan dari meratifikasi Statut Rom ini.

Kekecewaan pemimpin DAP ini sebenarnya tidak sukar untuk difahami kerana hansard Parlimen dan rekod DAP menunjukkan bahawa merekalah, termasuk Lim Kit Siang dan M Kulasegaran pada awalnya, yang paling lantang dan paling konsisten memperjuangkannya.

Begitupun, walaupun rasa kecewa, sangatlah tidak patut untuk pemimpin DAP, tambahan pula yang bertaraf Ahli Parlimen, untuk mengkritik keputusan tersebut, apa lagi untuk mengeluarkan istilah-istilah “Bodoh”, “Bangang” dan “Selfish” kepada BN dan PAS.

Dan jika diamat-amati maka akan didapati bahawa UMNO dan PAS tidaklah terlalu ke hadapan dalam menentang ratifikasi Statut Rom ini, di mana UMNO baru berkira-kira mahu menghadap Sultan Selangor manakala PAS pun belum menghadap Raja Melayu lagi.

Tetapi kalau ada ahli politik lain yang masuk menghadap itu kita tidak tahulah.

Apa pun, perbuatan membuka rahsia Kabinet adalah tidak bertanggungjawab.

No comments: