Wednesday 30 May 2018

TULAR : PEKERJA POS LEMPAR BUNGKUSAN

SUSULAN rakaman menunjukkan kakitangan Pos Laju melempar bungkusan yang tular baru-baru ini, pihak Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh berhubung insiden tersebut.

Kejadian itu dirakam oleh pelanggan ketika kakitangan terbabit sedang memindahkan barangan ke dalam tempat simpanan barang di Pos Laju cawangan Sungai Petani, Kedah.
Pos Malaysia mendakwa kejadian tersebut adalah terpencil dan amaran keras telah diberikan terhadap kakitangan berkenaan.
“Kami ingin memberi jaminan kepada semua pelanggan bahawa insiden terpencil ini tidak mencerminkan mutu kerja Pos Malaysia yang sebenarnya.
“Pos Malaysia berpegang teguh kepada prosedur kerja yang dinamik dan tidak akan berkompromi dengan mutu kerja yang sambil lewa,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui Facebook rasmi Pos Malaysia pada Selasa.
Bagaimanapun, Pos Malaysia mengakui bahawa pihaknya tidak lari daripada melakukan kesilapan dan ingin memohon maaf di atas kesilapan itu.
Katanya, Pos Malaysia memikul tanggungjawab yang berat bagi negara ini dan akan memastikan bahawa mutu kerja tersebut berada pada tahap cemerlang setiap masa.
“Bagi memastikan ia tidak berulang, langkah-langkah tertentu sedang dijalankan bagi memastikan kakitangan sentiasa peka dan memberi khidmat cemerlang.
“Antara langkah yang diambil ialah memastikan pemeriksaan dan pemantauan berkala dilaksanakan disamping memperkemaskan komunikasi dalaman serta mengingatkan kakitangan agar sentiasa memastikan proses kualiti kerja yang tinggi,” ujarnya.
Sebelum ini mStar Online pada Selasa melaporkan, kakitangan Pos Malaysia tular di laman sosial gara-gara rakaman yang menunjukkan beberapa pekerja membaling barangan pelanggan tanpa berhati-hati.
Klip berdurasi 10 saat itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya mempertahankan tindakan kakitangan Pos Malaysia secara amnya. –mStar Online

No comments: