Monday, 1 May 2017

RAJA DADAH DARI JOHOR DAN PENANG DICEKUP DI THAILAND


Dua raja dadah Malaysia yang amat dikehendaki akhirnya ditahan pihak berkuasa Thailand minggu lalu.  Suspek yang digelar sebagai Mr T atau Malaysian Iceman dari Johor dan Mr G dari Pulau Pinang dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia.

Menurut sumber polis Thailand yang mengekori suspek sejak berbulan-bulan, mereka menggunakan pelbagai tipu helah untuk mengelak daripada dikesan.
“Misalnya bagi mengelak daripada dikesan, Mr T sengaja menghidupkan telefon bimbitnya dan meninggalkannya di rumah kosongnya di Sadao semasa pergi ke Chiang Rai untuk memesan dadah.
“Dia juga meninggalkannya rumahnya dengan lampu dan pendingin hawa terpasang untuk memberitahu kononnya dia sentiasa berada di rumahnya,” kata satu sumber kepada BERNAMA.
Sumber itu yang enggan dikenali berkata, semasa berada di Chiang Rai di utara Thailand, suspek berumur 64 tahun itu hanya menggunakan telefon awam dan telefon bimbit milik rakan-rakannya bagi menghubungi isterinya yang berketurunan Thai yang tinggal bersama anak lelaki mereka berusia 16 tahun di Hatyai.
“Dia tidak mahu orang tahu pergerakannya semasa pergi ke Chiang Rai,” kata sumber itu sambil menambah suspek menyedari telefon bimbitnya dipantau oleh pihak berkuasa.
Namun tanpa pengetahuannya, pihak berkuasa telah mengawasinya sejak identitinya terbongkar hasil siasatan ke atas dua rakyat di Sadao pada Mac tahun lalu, susulan percubaan mereka menyeludup 282 kilogram dadah ‘ice’ ke Malaysia.
Siasatan ke atas kedua-dua mereka membawa kepada hasil maklumat berguna berkaitan Mr T yang juga pemilik dadah berkenaan dan peranannya dalam satu lagi kes penyeludupan dadah ke Malaysia.
“Pihak berkuasa sentiasa mengekori pergerakannya ke Chiang Rai. Menurut kedua-dua individu Malaysia itu, Mr T bertanggungjawab sekurang-kurangnya bagi lima penyeludupan ke Malaysia yang setiap satu membabitkan lebih 100 kilogram ‘ice’ ke lokasi yang tidak diberitahu, sebelum dadah itu dibawa pula ke negara ketiga.
Mr T yang tinggal di Thailand kira-kira 20 tahun dan fasih berbahasa Thai, diberkas polis Thailand di lapangan terbang Hatyai sebaik kembali dari Chiang Rai pada 19 April lalu.
Pihak berkuasa mendapati dia telah membina empayar perniagaan di Hatyai dan Sadao mencakupi pusat hiburan, restoran, perhotelan dan hartanah yang semuanya dirampas pihak berkuasa di bawah undang-udang penggubahan wang haram.
Beberapa hari selepas penahanan Malaysian Iceman itu, polis Thai mencipta kejayaan dengan penahanan seorang warga Malaysia berumur 44 tahun yang disifatkan pihak berkuasa sebagai kejam dalam kalangan anggota sindiketnya.
Dia menggunakan seksaan bagi memastikan anggotanya mematuhi arahan dan menjayakan tugas yang diberikan kepada mereka.
Seperti Mr T, aktiviti Mr G terbongkar dengan penahanan dua individu Malaysia di Chumphon, selatan Thailand akhir tahun lalu bersama hampir 52.4 kilogram heroin and 41.9 kilogram kristal methaphetamine dalam kereta mereka.
“Selain amat fasih berbahasa Thai, pihak berkuasa juga mendapati individu itu mempunyai kad pengenalan palsu Thailand bagi melindungi identitinya,” kata sumber berkenaan sambil menambah lelaki dari Pulau Pinang itu tinggal di kondominium mewah apabila berada di bandar serta sering membawa pistol.
Pihak berkuasa Thailand mengawasi individu berkenaan sebaik memasuki Thailand sebelum cuti sempena perayaan Songkran dan mengekorinya di Bangkok dan Chiang Mai sebelum menahannya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi semasa hendak menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.
“Ia adalah operasi yang mahal kerana pegawai perlu tinggal di hotel yang sama dan makan di restoran yang mahal di mana dia tinggal bagi memantau setiap pergerakannya,” kata sumber berkenaan.
Penahanan kedua-dua Raja Dadah itu menerima kerjasama baik daripada polis Malaysia yang memberi maklumat risikan penting mengenai mereka. – BERNAMA

Post a Comment