Saturday 5 March 2016

WATSON NYAMBEK DIISYTIHAR BANKRAP.. KECEWA STATUS KEWANGAN VIRAL DI MEDIA SOSIAL...


 FMT melaporkan bahawa Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek atau popular dengan gelaran ‘Flying Dayak’ diisytihar bankrap kerana tidak mampu membayar balik pinjaman bank berjumlah RM80,000.


Watson dikatakan membuat pinjaman dengan Bank Islam bagi membiayai perbelanjaan perubatan ayahnya yang menghidap kanser.

Jabatan Insolvensi mengeluarkan notis itu di akhbar Borneo Post, semalam.
Watson berkerja di Majlis Sukan Sarawak sebagai Jurulatih Atlit di bandar kelahirannya, Miri. Dia dilaporkan tidak mampu membayar balik pinjaman itu kerana gaji yang diterimanya rendah.
Dia pernah meminta bantuan menteri kanan di Sarawak dua tahun lalu tetapi tidak berhasil. Watson dikatakan menanggung hutang lebih RM100,000 termasuk kadar faedah.
“Saya juga perlu membayar bil-bil lain,” katanya.
Bagaimanapun.. Watson Nyambek, menyuarakan kekecewaannya tentang sebuah artikel yang mendedahkan status kewangannya serta menyifatkannya sebagai “tidak beretika dan tidak profesional”.
Kata Watson, penulis artikel itu menghubunginya melalui telefon mengenai satu notis muflis yang tersiar dalam ruangan iklan sebuah akhbar tempatan semalam.
“Saya jelaskan kedudukan saya kepada wartawan itu, ia sepatutnya merupakan perbualan antara dua orang kawan dan saya tidak pernah memberi kebenaran kepadanya untuk menyiarkan berita itu. Ia merupakan hal peribadi bagi saya serta keluarga saya dan saya kecewa serta marah kerana dia tidak menghormati privasi saya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Watson, yang ditemani isterinya, Fellizia Michael, berkata penulis itu sepatutnya meminta kebenarannya terlebih dahulu kerana artikel berkenaan boleh menjejaskan kerjayanya sebagai jurulatih dari segi penajaan dan kredibilitinya.
“Paling penting, saya ingin jelaskan sekali lagi di sini bahawa saya tidak pernah memberi kebenaran kepada penulis itu untuk menyiarkan berita berkenaan, ya, kami memang bergelut dari segi kewangan sejak beberapa tahun lepas, tapi kami tidak cuba untuk mengemis simpati,” katanya.
Watson berharap penyiaran berita itu tidak menjejaskan Flying Dayak Club, kelab yang ditubuhkannya bagi melatih atlet di negeri ini.
Ketika berkongsi kekecewaan Watson, Felliza berkata mereka mungkin menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis berkenaan.
“Dua peguam, seorang dari Limbang dan seorang lagi dari Miri telah menghubungi kami bagi menawarkan khidmat mereka sekiranya kami memerlukan nasihat berkaitan undang-undang. Saya cuba memanggil dan menghubungi penulis itu melalui WhatsApp sejak pagi tadi, tapi dia tidak menjawab atau membalas mesej WhatsApp saya. Inikah yang dikatakan kewartawanan bertanggungjawab?” tanya wanita itu.
Felliza berkata dia dan Watson berusaha untuk menambah pendapatan dengan berniaga buah-buahan berhampiran pusat beli-belah, menjual beg buatan sendiri dan menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan klinik kejurulatihan di sekolah. – BERNAMA
Untuk rekod Watson Nyambek adalah memegang rekod kebangsaan acara 100 meter dengan merekodkan 10.3 saat dalam Kejohanan Olahraga Kebangsaan pada 1998.  Sehingga kini, rekod itu masih belum berjaya dipadam.

No comments: