Saturday 5 December 2015

AHLI PERNIAGAAN MALAYSIA MATI DITEMBAK M16 DI SONGKHLA

Songkhla (Selatan Thailand): Seorang ahli perniagaan warga Malaysia terbunuh manakala teman wanitanya cedera akibat terkena tembakan dilepaskan sekumpulan lelaki di Jalan Kanchanavanit, Thung Lung, dekat sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Lee Ah Wan, 54, yang berasal dari Kedah tetapi menetap di Mukim Sanakam, Daerah Sadao, Songkhla.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa sedang memandu kereta Mercedes Benz S300 bersama teman wanita berusia 40-an, dipercayai dalam perjalanan ke Hatyai.
Sumber Polis Diraja Thailand berkata, siasatan awal mendapati pasangan berkenaan dari arah Sadao, di Jalan Kanchanavanich, Kg Klongplom, Mukim Thunglung, menuju Hatyai apabila sekumpulan lelaki melepaskan berpuluh-puluh tembakan menggunakan raifal M-16 selepas menghalang kereta dipandu mangsa terbabit.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala teman wanitanya yang cedera, dikejarkan ke hospital berhampiran.
"Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung serangan terbabit bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

No comments: