Sunday, 4 October 2015
NASA RAMALKAN JEREBU AKIBAT KEBAKARAN DI INDONESIA KALI INI ADALAH YANG TERBURUK DALAM SEJARAH
JAKARTA 3 Okt - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) memberi amaran, jerebu di rantau ini yang berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia berpotensi menjadi yang terburuk pernah direkodkan.
Sejak beberapa minggu lalu Malaysia, Singapura dan sebahagian Indonesia diliputi jerebu yang berpunca daripada aktiviti pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.
Keadaan itu mengakibatkan tahap kualiti udara merosot ke tahap bahaya dan menyebabkan sekolah serta lapangan terbang terpaksa ditutup.
Jerebu di rantau ini berlaku hampir setiap tahun ketika musim kemarau, tetapi saintis memberi amaran keadaan tahun ini mungkin lebih teruk berbanding 1997.
Sekiranya musim kemarau terus berlanjutan, rantau ini mungkin diliputi jerebu yang lebih tebal mengatasi krisis terburuk pada 1997.
“Keadaan di Singapura dan Sumatera Tenggara menuju krisis jerebu terburuk berbanding 1997,” kata saintis Universiti Columbia, Amerika Syarikat (AS), Robert Field.
Field yang bertugas di Institut Goddard untuk Kajian Angkasa milik NASA memberitahu, krisis tahun ini bakal menjadi yang terburuk direkodkan sekiranya musim kemarau berlarutan.
Fenomena El Nino menyebabkan musim kemarau tahun ini lebih panas dan panjang berbanding biasa.
Pihak berkuasa Indonesia yang bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan berharap musim hujan akan menamatkan krisis berkenaan.
Bagaimanapun, seorang pakar di Indonesia memberitahu keadaan jerebu di rantau ini akan menjadi lebih buruk.
Pusat Kajian Perhutanan Antarabangsa Indonesia, Herry Purnomo berkata, kemuncak musim kemarau dijangka pada bulan depan yang bakal menyebabkan lebih banyak asap.
“Ia belum lagi berakhir,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment