Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Seri Fahad Abdullah Alrashid menggesa supaya tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga air zamzam tiruan di negara ini.
Menurut beliau, air yang dijual di pasaran Malaysia yang didakwa sebagai air zamzam adalah tiruan dan berharap rakyat negara ini berhati-hati supaya tidak ditipu.
“Semua orang tahu bahawa ini adalah pelanggaran yang jelas terhadap undang-undang, di mana peraturan rasmi Arab Saudi melarang mengeksport air zamzam.
“Bukan itu sahaja, pelancong juga dihalang daripada membawa keluar kuantiti yang besar,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kewujudan sekurang-kurangnya tiga jenama air zamzam yang dijual di negara ini diragui ketulenannya, malah ujian kimia yang dilakukan turut mendapati satu daripada jenama berkenaan sudah tercemar.
Mengulas lanjut Fahad Abdullah memberitahu bahawa Arab Saudi juga menguatkuasakan peraturan yang mengharamkan penjualan air zamzam.
“Isu ini juga sebagai pelanggaran yang jelas terhadap peraturan ketat yang mengharamkan pengisian air zamzam ke dalam botol dan menjualnya sama ada di dalam atau luar Arab Saudi.
“Peraturan itu juga melarang pengeksportan air zamzam secara umum dan mutlak dalam apa-apa cara,” katanya.
No comments:
Post a Comment