Saturday 14 February 2015

PKR PULAU PINANG TIDAK PERNAH BERSEDIA UNTUK PRK PERMATANG PAUH


GEORGETOWN 13 Feb - PKR Pulau pinang hari ini mengaku parti itu tidak pernah bersedia untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh kerana menjangkakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bebas daripada sabitan kesalahan meliwat.

Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata sebelum ini, parti itu yakin Anwar yang merupakan ketua umum PKR dan anggota Parlimen Permatang Pauh akan menang dalam kes rayuannya.
   
Abdul Malik yang juga pengarah pilihan raya Pulau Pinang berkata segala persiapan parti sebelum ini adalah untuk menghadapi PRU14.
   
"Sekarang kami menukar mood persiapan untuk menghadapi PRK Permatang Pauh dan yakin parti akan mampu mengekalkan majoriti kemenangan lepas," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
   
Selasa lepas, Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
   
Mahkamah itu mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan.
   
Dengan keputusan itu, Anwar, 67, hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000.

No comments: