Sunday, 18 January 2015

LELAKI WARGA MAGHRIBI MAUT DITIKAM 17 KALI SEMINGGU SELEPAS TRAJEDI CHARLIE HEBDO

Serangan tersebut berlaku kira-kira seminggu selepas tragedi berdarah di ibu pejabat Charlie Hebdo di Paris

AVIGNON - PERANCIS. Seorang lelaki warga Maghribi ditikam hingga mati di kediamannya di selatan Perancis dalam insiden serangan terbaharu kira-kira seminggu selepas tragedi berdarah di ibu pejabat Charlie Hebdo di ibu negara.

Jurucakap polis memberitahu, penyerang berusia 28 tahun itu bertindak merempuh rumah mangsa, Mohamed El Makouli, 47, di Beaucet berhampiran Avignon lewat malam Rabu lalu.

"Laporan autopsi menunjukkan bapa kepada seorang anak itu ditikam sebanyak 17 kali.

"Isteri mangsa yang cuba untuk menyelamatkannya turut cedera di tangan, namun dia berjaya melarikan diri bersama anak mereka sebelum segera membuat laporan kepada pihak berkuasa," katanya kepada AFP.



Susulan daripada kejadian itu, suspek telah didakwa atas tuduhan membunuh dan memiliki dadah sebelum dihantar ke hospital psikiatri dekat Montfavet untuk menjalani pemeriksaan mental.

Menurutnya, pihak berkuasa juga akan menyiasat sama ada terdapat unsur Islamophobia dalam insiden menggemparkan itu.

Sementara itu, Presiden Pusat Pemerhati Menentang Islamophobia Kebangsaan, Abdallah Zekri  mengutuk kejadian tersebut dan menyifatkan ia sebagai serangan anti-Islam yang amat dahsyat.

Dalam satu kenyataan lain, Menteri Kehakiman, Christiane Taubira menegaskan kerajaan akan mengetatkan undang-undang berkaitan perkauman selepas lebih 50 insiden serangan anti-Islam dilaporkan di negara tersebut sejak 7 Januari lalu.

Post a Comment