Saturday, 27 December 2014

TERKINI : BANJIR MAKIN KRITIKAL, MANGSA MELEBIHI SERATUS RIBU DI SELURUH NEGARA



 KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri kini mencecah 119,087 orang dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 45,467 orang setakat petang ini.




Di KELANTAN, limpahan air Sungai Kelantan menyebabkan jumlah mangsa di Kota Bharu naik mendadak iaitu seramai 13,388 orang kepada 14,586  orang petang ini berbanding 1,198 orang pagi tadi.


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri,  Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata, limpahan air sungai itu telah merebak ke beberapa kampung  berhampiran termasuk Kampung Lembah Sireh, Kampung Pintu Geng, Kampung Kedai Buloh, Kampung Banggol, dan kawasan sekitar Pengkalan Chepa.


Kesemua mangsa kini dipindahkan ke 40 pusat pemindahan berbanding hanya tujuh pagi tadi, katanya.

Kecuali di Pasir Mas yang menunjukkan sedikit penurunan dengan jumlah mangsa kini mencecah 6,319 orang, beberapa kawasan lain  kebanyakannya tidak berubah termasuk di Tanah Merah (3,546 orang), Gua Musang (5,150 orang), Tumpat (5,005 orang), Machang (4,039 orang), Jeli (1,430 orang), Kuala Krai (5,200 orang) dan Pasir Puteh (192 orang).



Di TERENGGANU, jumlah mangsa terus meningkat kepada 34,884 petang ini berbanding 31,001 pada tengah hari.

Daerah Kemaman mencatat tambahan mangsa kepada 25,090 orang daripada 21,381 yang ditempatkan di 46 pusat penempatan, demikian  menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu.

Daerah Dungun turut menunjukkan peningkatan menjadikan jumlah mangsa 8,197 orang manakala Kuala Terengganu masih bertahan dengan 1,369 orang dan Hulu Terengganu (228 orang).


Bagaimanapun menurut portal itu,  bandar Kuala Terengganu masih dapat dihubungkan dengan Kuantan melalui beberapa lencongan dan jalan  alternatif walaupun beberapa jalan utama masih dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat.

“Bagi pengguna jalan raya yang hendak ke Kuantan dari Kuala Terengganu menggunakan jalan pesisir, mereka disaran melalui persimpangan  alan  Che Lijah di Dungun dan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Tol Dungun.

“Dari LPT2 Tol Dungun itu, pengguna boleh melaluinya sehingga susur keluar Tol Paka berikutan kawasan sekitar di Air Hitam sehingga Kampung  Nyior di Dungun dinaiki air,” menurut laporan itu.
MKN berkata pengguna jalan raya akan menggunakan kembali sebahagian laluan pantai di Kemaman sebelum sekali lagi masuk ke LPT2 susur  keluar Tol Kijal untuk dihubungkan ke LPT1 ataupun Kuantan, manakala petang ini LPT Bukit Besi-Ajil telah dibuka semua kepada semua  kenderaan. - I MALAYSIA

Post a Comment