Sunday, 28 December 2014

PEMINAT SENI EROPAH 'MENGGILAI' HASIL SENI PELUKIS MALAYSIA


Peminat Seni ‘Berebut’ Beli Karya Pelukis Malaysia

“KALAU aku tahu, awal-awal lagi aku lukis gambar laut atau pantai,” kata Osman Limat, seorang daripadapelukis Malaysia yang menyertai bazar seni di Milan baru-baru ini.


Osman Limat yang gemar melukis pemandangan hutan dan alam semula jadi mengakui dia terkejut apabila lukisannya bertemakan laut dan pantai mendapat sambutan sangat menggalakkan sepanjang berada negara Eropah itu.

Manakan tidak. Satu daripada lukisan Osman Limat yang memaparkan suasana tepi pantai dibeli orang walaupun belum siap sepenuhnya.

“Kira-kira 60 peratus saja siap. Sampan pun belum sempurna lagi, tapi ada orang Itali beli,” katanya.

Lebih menarik apabila transaksi itu berlaku ketika Osman Limat dan peminat lukisannya sama-sama tidak dapat berkomunikasi dengan bahasa yang saling memahami.

“Kami bercakap macam itik dengan ayam. Mereka tidak bercakap bahasa Inggeris, apa lagi bahasa Melayu,” katanya.


Osman gigih menyiapkan lukisan berlatarbelakangkan laut dan pantai yang digemari peminat seni Eropah.

‘Rahsia’ selera peminat lukisan di Milan itu disedari Osman pada hari ke-10 L’artigiano In Fiera yang bermula 29 November lalu.

Kata Osman Limat, dari gaya pertuturannya serta raut wajahnya tidak syak lagi lelaki itu sememangnya sungguh meminati lukisan yang masih belum siap itu.

Yang pasti, Osman Limat tidak berniat mahu menipu pembeli lukisannya.

Justeru, dia berterus terang memberitahu bahawa lukisannya belum siap, tetapi pelawat terbabit tetap berkeras mahu membelinya.

“Memang seronoklah. Asalkan ada masa lapang, saya melukis atau membuat lakaran, termasuk di atas kertas terbuang. Itu pun orang beli,” katanya.

Secara keseluruhan ada 10 wakil Malaysia dihantar Kementerian Pelancongan menyertai ekspo berkenaan.


Nazri dan Najihah memberi tumpuan terhadap hasil karya masing-masing sambil diperhatikan peminat seni Eropah.

Selain Osman Limat, dua lagi pelukis bernaung di bawah kumpulan Rajawali Art Group yang menyertai acara itu ialah Najihah Lee Abdullah dan Mohd Nazri Mat Sood.

Bagi Najihah pula, dia sangat terkesan dengan kesungguhan dan minat komuniti Eropah kepada seni.

Katanya, rata-rata penduduk Eropah sangat menghargai seni, terutama lukisan dan arca, apatah lagi jika karya seni itu memaparkan ciri unik negara masing-masing.

“Kami membuat lukisan secara langsung dan ia sangat menarik minat pengunjung. Mereka sanggup berdiri lama-lama menanti lukisan kami siap,” katanya.

Lebih menarik lagi, kata Najihah, kebanyakan pengunjung – termasuk golongan remaja – membawa kamera dan masing-masing merakamkan aksi peserta menyiapkan lukisan.

“Sebaik saja lukisan siap, mereka terus membelinya. Bagi kami, ia adalah penghargaan yang tinggi ditunjukkan oleh komuiti Eropah kepada seni lukis Malaysia,” katanya.

Jika ada kesempatan, kata Najihah, pengunjung akan bertanya pelbagai soalan mengenai lukisan yang disiapkan dan sebahagian daripada maklumat itu dijadikan pendedahan awal kepada golongan muda atau kanak-kanak.


Peminat seni luar negara begitu gemar berkongsi pendapat mengenai hasil karya yang dipamerkan pelukis Malaysia.

“Mereka juga tak lokek berkongsi pandangan,” katanya.

Bagi Mohd Nazri pula, minat mendalam kepada seni mungkin menyedapkan telinga dan membanggakan, tetapi pada masa sama, sedikit menyakitkan hati.

Puncanya, ada lukisan Mohd Nazri yang dicuri orang.

Gambar yang hilang itu ialah lukisan mengenai suasana kampung di Malaysia.

“Kalau di Malaysia rasanya lukisan tu diberi percuma pun orang tak berminat,” katanya.

Di sebalik ‘malang’ itu nasib tetap menyebelahi Mohd Nazri.


Nazri yang mahir menghasilkan lukisan suasana kampung tradisional menarik perhatian peminat seni luar negara.

Antara lukisan yang dibawa ke Milan ialah karyanya yang terbiar di studio Rajawali di Taman Cenderawasih di Kuantan.

“Saya bawa untuk jadi sampel saja, tapi lukisan itulah yang pengunjung mahu,” katanya.
Lukisan Mohd Nazri juga mencipta ‘kontroversi’ apabila menjadi rebutan antara dua pembeli.

Kata Mohd Nazri, pada hari kedua ada seseorang menempah lukisan sepasang budak kampung – sebenarnya anak Mohd Nazri sendiri – tetapi dia tidak meninggalkan wang pendahuluan.

Ditakdirkan pada hari keempat Mohd Nazri demam dan tidak dapat hadir ke gerai jualan mereka dan mewakilkan kepada Osman untuk sebarang urus niaga.

“Kebetulan ada orang lain berminat dan membelinya tanpa mengetahui ia sudah ditempah pengunjung lain. Osman pula tak tahu apa-apa dan menjualnya.

“Dua hari kemudian pembeli asal datang dan marah-marah sebaik saja tahu lukisan saya dijual kepada orang lain. Saya tak boleh cakap apa-apa, sedangkan Osman hilang entah ke mana,” katanya.


Najihah, pendidik yang berkebolehan menghasilkan karya bermotifkan bunga yang menakjubkan.

Secara keseluruhan Osman, Najihah dan Mohd Nazri berpuas hati kerana berpeluang menimba pengalaman di negara luar.

Cuma, bagi Osman, kesulitan utamanya ialah ketiadaan nasi. Justeru sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, perkara pertama dilakukannya ialah mencari nasi.

Bagi Najihah pula, dia kagum dengan penduduk Milan yang sentiasa menjaga penampilan.

“Sentiasa kemas dan menjaga tingkah laku. Kalau mereka marah pun nampak romantik,” katanya.

Bagi Mohd Nazri? “Wanita Itali tak ada yang lawa,” katanya selamba.


Lokasi pelukis dan pengkarya Malaysia berkampung sepanjang berlangsungnya bazar seni di Milan.

Sumber: Mstar

Post a Comment