Friday 12 December 2014

NIZAR JAMALUDDIN TUDUH KUISAS BEROPERASI SECARA 'HARAM' !!!


IPOH : Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria menafikan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Nizar Jamaluddin berkenaan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kini beroperasi di bawah enakmen yang tidak sah.


“Tuduhan itu ternyata tidak berasas, kerana kini KUISAS beroperasi di bawah KUISAS Berhad, merupakan sebuah syarikat menurut jaminan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Perak,”tegasnya.

Menurutnya, penubuhan dan operasi KUISAS berpandukan kepada syarat penubuhan sebuah Kolej Universiti yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sewaktu penaiktarafan KISDAR kepada KUISAS.

Pihak pembangkang turut mengutarakan isu berkaitan status kakitangan KUISAS bukan kakitangan awam dan hilang kelayakan di bawah perkhidmatan awam telah menyebabkan warga kakitangan akademik sokongan berasa tidak selesa.

“Kerajaan Negeri juga telah memperakui kakitangan KUISAS  adalah berstatus Kerajaan Negeri seperti yang termaktub di dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KUISAS Berhad dan Mesyuarat Lembaga Pengarah KUISAS kali pertama Bil 1/2013,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selepas pergulungan perbahasan sebentar tadi,  di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau turut menyangkal tohmahan pembangkang kononnya KUISAS melantik warga Thailand untuk memegang jawatan Timbalan Rektor Akademik dan Dekan di KUISAS.

Tegasnya lagi andaian dan tuduhan yang mengatakan kakitangan KUISAS kurang cekap merupakan satu tuduhan yang tidak adil buat semua.

“Jawatan Dekan dan Ketua Jabatan di KUISAS dilantik oleh rektor dan Lembaga Pengarah KUISAS dan Timbalan Rektor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar sekarang adalah warganegara Malaysia,” tegasnya.

Beliau turut menasihati Ketua Pembangkang tersebut seharusnya lebih bertanggungjawab dalam membuat kenyataan berhubung status KUISAS dan bukannya melempar tuduhan yang tidak berasas sehingga boleh menimbulkan fitnah.

No comments: