PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini membatalkan serta merta cadangan Jabatan Perikanan untuk melesenkan pemancing ikan.
Beliau berkata walaupun peraturan itu selaras garis panduan Food and Agriculture Organisation (FAO) dan diguna pakai di banyak negara namun mendapati belum sampai masa peraturan itu dikuatkuasakan di negara ini.
Peraturan melesenkan pemancing itu katanya, telah di luluskan drafnya oleh Jabatan Peguam Negara pada 2012.
"Buat masa ini Jabatan Perikanan sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan sebelum cadangan tersebut di bawa ke peringkat kementerian untuk tindakan lanjut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Isu berkenaan menjadi viral di laman sosial terutamanya laman sosial milik peminat dan kaki pancing yang merasakan langkah memperkenalkan lesen kepada pemancing ikan adalah tidak wajar.
Difahamkan, langkah memperkenalkan lesen memancing bertujuan mengawal populasi ikan serta mengelakkan aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pengeboman ikan.
Beliau berpandangan jika tujuannya untuk mengelakkan aktiviti menyalahi undang-undang seperti pengeboman dan lain-lain, jabatan telah mempunyai undang-undang dan peraturan mengenainya yang penting adalah cara perlaksanaannya.
Jelas Ismail Sabri beliau hanya mengetahui berhubung cadangan itu malam tadi menerusi satu posting yang dihantar ke laman sosial facebook miliknya.
"Sebenarnya saya tidak tahu tentang cadangan peraturan itu dan saya sendiri terkejut selepas membaca posting di laman sosial facebook.
"Peraturan itu tidak munasabah dan telah mengarahkan supaya cadangan itu dibatalkan serta merta," katanya.
Aktiviti memancing juga adalah satu aktiviti sukan dan hobi malah ada juga terlibat dengan memancing adalah nelayan miskin di Zon A tentu pengambilan lesen akan menyusahkan mereka - - BERNAMA
No comments:
Post a Comment