Tuesday 16 December 2014

ANWAR IBRAHIM BERASA DIRI HEBAT, BERKUASA DAN PENTINGKAN AGENDA PERIBADI - DS ZAHRAIN HASHIM



Bekas Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sifat "megalomania" (berasa diri hebat dan berkuasa) dan hanya mementingkan agenda peribadinya.

  
Zahrain berkata beliau juga secara peribadi berpendapat Anwar bukan seorang yang berwibawa dan tidak boleh dipercayai selepas berkesempatan untuk bekerjasama dengan Anwar dalam PKR.


"Saya percaya beliau seorang megalomania. Saya percaya bahawa Anwar cuma mementingkan agenda peribadinya iaitu menawan Putrajaya 'dengan apa cara sekalipun" dan menganggap dirinya sebagai bakal perdana menteri," kata beliau semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
  
Zahrain, Duta Besar Malaysia ke Indonesia memberi keterangan pada perbicaraan kes saman RM100 juta dikemukakan oleh Anwar terhadap Anifah berhubung kenyataan Menteri Luar itu pada sidang media di Washington pada Mei 2009.
  
Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee apakah pengertiannya mengenai kata-kata plaintif (Anwar) "dengan apa cara sekalipun', beliau menjawab "mungkin dia menawarkan wang atau jawatan".
 
Zahrain dalam  kenyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah berkata beliau percaya apa yang plaintif maksudkan dengan perkataan "dengan apa cara sekalipun' ialah beliau (Anwar) akan menggunakan apa cara yang ada untuk memastikan parti gabungan PKR akan membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu melalui tindakan menarik anggota kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti.

"Ini termasuk dan tidak terhad kepada habuan kewangan untuk menarik anggota Parlimen BN untuk berbuat demikian," katanya.

Zahrain berkata beliau mengenali Anwar sejak 2008 semasa pilihan raya umum apabila beliau (Zahrain) menjadi anggota Parlimen dan oleh kerana gabungan BN telah memenangi pilihan raya, Anwar tidak dapat menerima hakikat bahawa partinya telah tewas.

"Anwar secara konsisten membuat kenyataan dalam media massa bahawa Kerajaan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat akan tumbang kerana ramai anggota Parlimen daripada BN telah mengambil keputusan untuk melompat parti dan menyertai PKR untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu," katanya.

Zahrain berkata, pada atau sekitar tahun 2008 selepas BN memenangi pilihan raya umum, beliau tidak yakin mengenai keupayaan Pakatan Rakyat untuk menerajui negara yang kemudian mendorong beliau untuk menjadi anggota Parlimen Bebas.

"Pada masa itu, ada cakap-cakap mengenai tawaran yang dibuat kepada anggota Parlimen daripada BN untuk melompat parti dan PKR yang plaintif (Anwar) dakwa akan membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu  kerana beliau telah memperoleh sokongan daripada sekurang-kurangnya 32 lagi anggota Parlimen untuk tujuan itu.

"Saya tahu bahawa Anwar telah menjanjikan habuan kewangan kepada beberapa anggota Parlimen BN dan kepada yang lain beliau menjanjikan jawatan tertentu jika parti pimpinan Anwar membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu," katanya.

Zahrain juga berkata beliau secara peribadi tidak tahu bahawa plaintif mahu anggota Parlimen Kimanis (Anifah) untuk menyertai PKR dan Anwar telah bercakap mengenai perkara itu dengan beberapa pemimpin PKR.

"Yang saya ingat ialah Wee Choo Keong, Datuk Zulkifli Nordin. Turut hadir pada masa itu ialah Chua Tian Chang, Datuk Johari Abdul, Datuk Rashid Din dan beberapa yang lain," katanya.
  
Terdahulu, anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberitahu mahkamah bahawa seseorang telah menawarkannya RM5 juta untuk melompat parti dan menyertai PKR.

"Saya menerima panggilan di rumah saya dengan pemanggil menawarkan kepada saya RM5 juta untuk melompat parti ke PKR. Pemanggil berkata dia dari PKR. saya tidak ingat namanya tetapi dia bertutur seperti loghat orang Sabah.

"Saya ada memberitahu pegawai Cawangan Khas (SB) mengenai panggilan telefon ini dan memberikan nombor telefon pemanggil yang tercatat dalam log telefon saya kepada SB. Saya tidak ingat secara khusus tentang tarikh panggilan tetapi panggilan dibuat sebelum 16 September 2008," kata Kiandee.

Katanya beliau tidak ambil kisah tentang panggilan itu kerana tahu bahawa beliau tidak akan melompat parti.

Ketika disoal oleh peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar sama ada beliau telah membuat laporan polis mengenai tawaran itu, saksi itu berkata "tidak".

Anwar mengemukakan saman terhadap Anifah dan Kerajaan Malaysia pada 27 Mei, 2009, kerana mendakwa kenyataan Anifah pada sidang media di Washington, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton telah mencemarkan nama baiknya.
  
Anwar mendakwa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan media asing, telah menimbulkan fitnah terhadap perwatakannya dan secara langsung dan tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup.

No comments: