Friday 26 December 2014

HOSPITAL KUALA KRAI BERGELAP, GENERATOR KEHABISAN DIESEL SELEPAS BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS

banjir tenggelam

KUALA LUMPUR - Seorang pakar bius terpaksa memberi rawatan "intubation" (bius melalui hidung) kepada seorang bayi dalam gelap untuk menyelamatkan nyawanya selepas generator di Hospital Kuala Krai kehabisan minyak hari ini.

   Ini merupakan pengalaman yang menakutkan seperti dinyatakan melalui mesej WhatsApp oleh Dr Adibah Abdullah, seorang pegawai perubatan di hospital
   
Hospital itu beroperasi dengan menggunakan generator selepas bekalan elektrik terputus kira-kira 5 petang semalam, akibat peras air meningkat dengan cepat dalam apa yang disifatkan sebagai banjir terburuk dalam sejarah Kelantan.
   
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dengan tepat bila generator telah kehabisan diesel.
   
Dalam rentetan mesej WhatsApp untuk memberi maklumat terkini kepada seorang rakan mengenai keadaan yang semakin teruk di hospital, Dr Adibah menjelaskan bahawa pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan unit penjagaan kritikal (CCU) bernafas menggunakan mesin yang berfungsi melalui kuasa bateri

"Kalau bekalan tak pulih, kami akan bergilir-gilir membuat manual bagging ... tapi sampai bila?" beliau menulis.
   
Beliau berkata bekalan diesel untuk generator dijanjikan dihantar pada 8.30 malam oleh helikopter. Bagaimanapun, masalahnya ialah hospital itu berada dalam kegelapan sepenuhnya.
   
"Kami tidak mempunyai suar tetapi kami memerlukan lampu untuk menunjukkan kepada mereka di mana kami berada.
   
"Kuala Krai telah bertukar menjadi sungai yang besar, dan hospital kami adalah satu daripada beberapa pulau yang tidak bersinar dalam kegelapan," beliau dalam catatannya.
   
Dalam satu lagi detik yang menyayat hati, Dr Adibah berkata, helikopter telah tiba sebelumnya pada sebelah malam tetapi tidak dapat mendarat kerana ketiadaan ruang.
   
"Kipasnya berputar begitu kuat sehingga air terpercik dari kawasan yang digenangi air, serpihan berterbangan, dan mereka berkata bumbung akan runtuh jika helikopter menghampiri lebih dekat. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan pesakit ialah dengan mengangkat mereka ke atas, seperti dalam filem. Dari bot, atau dari kawasan yang berhampiran dengan pinggir air.

"Tetapi kita bercakap mengenai pesakit yang sakit di sini. Yang bernafas dengan mesin, bayi-bayi baru lahir, orang tua patah tulang," beliau menulis.
   
Beliau berkata, helikopter akhirnya terpaksa berlepas tanpa memindahkan mana-mana-mana pesakit.
   
"Helikopter berlegar-legar ... dan tidak menghantar apa-apa. Kenderaan amfibia milik bomba datang. Kemudian ia pergi semula. Matron mengumumkan "tak jadi pindah, sila pulang ke wad masing-masing.
   
"Dan kerana lif tidak berfungsi (menggunakan lif dalam keadaan elektrik on-off begini adalah tindakan amat bahaya), kebanyakan pesakit mengheret badan menaiki tangga," katanya.
   
Dr Adibah berkata, pesakit berasa kecewa apabila mereka melihat kenderaan amfibia itu berlepas dan tidak dapat sampai kepada mereka.
   
Beliau berkata, satu-satunya bantuan perubatan yang tiba sejak krisis itu bermula ialah seorang doktor tentera, yang tiba di hospital beberapa jam lalu. - Bernama

No comments: