Thursday, 20 November 2014

SULTAN PAHANG MURKA DENGAN G.PALANIVEL ???


KUALA LUMPUR : Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah murka dengan Ahli Parlimen Cameron Highlands,  Datuk Seri G. Palanivel dan telah menitahkan beliau untuk segera mengambil langkah-langkah bagi mengelak tragedi yang sama berulang kembali pada masa akan datang.

Memberi reaksi terhadap bencana bajir lumpur baru-baru ini yang mengorbankan lima nyawa, Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap Palanivel yang dilihat kurang cekap melaksanakan tindakan, walaupun kes seperti itu pernah berlaku pada masa lalu.

"Apa yang Palanivel buat? Tiada apa. Rakyat di situ kini menderita secara mental dan fizikal apabila bencana ini berlaku.

"Rakyat telah mengundi dan memilih beliau pada pilihan raya lalu, tetapi adakah ini yang diberikannya kepada rakyat?" titah baginda seperti yang dilaporkan akhbar Berita Harianhari ini.

Sultan Ahmad Shah turut mengingatkan Palanivel agar memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat yang telah memilihnya dalam pilihan raya lalu atau berdepan dengan risiko kehilangan undi mereka pada pilihan raya akan datang.

"Beta rasa malu dengan kejadian ini. Beritahu menteri kamu supaya memberi keutamaan kepada kawasan sendiri terlebih dahulu," titah baginda.

Baginda juga menitahkan agar semua penerokaan tanah haram untuk pertanian di seluruh Cameron Highlands dihentikan serta-merta, selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membiarkan masalah itu berlarutan.

Ahad lalu, Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, sejuta pokok akan ditanam di Cameron Highlands terutamanya di lereng-lereng bukit bagi mengurangkan hakisan tanah seterusnya menhindar kejadian runtuhan tanah.

Menurut Palanivel, program menanam pokok itu akan dimulakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun. Beliau menambah, pihak kementerian juga mahu memperoleh 11 plot tanah sepanjang tebing Sungai Bertam, Ringlet yang kini dimiliki pihak perseorangan melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya akan menempatkan para pegawainya di Cameron Highlands bagi meningkatkan usaha pemantauan aktiviti-aktiviti rasuah di lokasi.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdul menggesa sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang rasuah atau aktiviti haram di kawasan berkenaan untuk menyampaikannya kepada SPRM.

No comments: