Friday, 28 November 2014

HUJAN LEBAT BAN PECAH : CHANGKAT JONG, TELUK INTAN DI LANDA BANJIR

Post Pic

IPOH : Jumlah mangsa banjir di Changkat Jong dekat Teluk Intan di sini, meningkat kepada 350 orang setakat pagi ini berbanding 327 orang malam tadi.
 
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Degong yang menempatkan 23 mangsa banjir manakala di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong kekal 327 orang.
 
"Kita dapati air Sungai Bidor di Kampung Degong melimpah dan mengakibatkan banjir di kawasan itu. Cuaca pagi ini tidak hujan dan paras air sungai mencecah 28.7 meter," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
 
Mohd Fazly berkata mangsa banjir di dewan itu melibatkan sembilan keluarga terdiri daripada lelaki dewasa sebanyak empat orang manakala perempuan dewasa (10), kanak-kanak lelaki (tujuh) dan kanak-kanak perempuan (dua).
 
Katanya mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong tidak dibenarkan pulang ekoran paras air sungai masih mencecah 3.54 meter.
 
"Kesemua mangsa melibatkan 97 keluarga terdiri daripada 66 lelaki dewasa, wanita dewasa (82), kanak-kanak lelaki (64), kanak-kanak perempuan (51), lelaki warga emas (17), perempuan warga emas (19), bayi lelaki (18) dan bayi perempuan (10)," katanya.
 
Penduduk yang terjejas dari empat kawasan penempatan di Lorong Mesra di Batu 7, Lorong Kedah di Batu 8, Lorong di Batu 11 dan Kampung Batu 9, katanya.
 
Banjir itu adalah yang kedua melanda kawasan Changkat Jong dalam tempoh dua minggu selepas ban Sungai Bidor pecah akibat hujan lebat dan air melimpah ke kawasan penempatan.
 
Dalam banjir pertama pada 14 Nov lepas, sebanyak 56 mangsa banjir dari Lorong Mesra dipindahkan.

#telukintan
#changkatjong

Post a Comment