Saturday, 1 November 2014

DUA ANAK MANGSA #MH370 FAIL SAMAN TERHADAP MAS


KUALA LUMPUR 31 Okt. - Dua anak kepada seorang penumpang pesawat MH370, hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Malaysia Airlines (MAS) dan empat yang lain untuk menuntut ganti rugi atas dakwaan memungkiri perjanjian penerbangan setelah gagal mendarat di Beijing, China tanpa sebarang butiran pengakhiran mengenai pesawat tersebut sehingga kini.

Kedua-duanya memfailkan pernyataan tuntutan itu melalui firma guaman, Tetuan Rusman Arun & Associates.

Mereka selaku pihak plaintif yang membawa tindakan tersebut melalui ibu mereka, Ng Pearl Ming antaranya menuntut ganti rugi atas kehilangan sokongan, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Plaintif menamakan MAS, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia dan Kerajaan Malaysia masing-masing selaku plaintif pertama hingga kelima.

Pesawat penerbangan ke Beijing yang membawa bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.

Sehingga kini misi pencarian di sekitar perairan Lautan Hindi masih giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Australia.

Post a Comment