Sunday, 23 November 2014

BUDAK LELAKI HILANG DITEMUI MATI DIPERCAYAI DIBUNUH

Mohd Shariqal Sidek, 3 tahun

BEAUFORT: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang hilang ketika bermain di kawasan kebun getah di Kampung Selagon di sini, pagi kelmarin, ditemui mati dipercayai dibunuh.

Mayat Mohd Shariqal Sidek, ditemui pada jam 2.15 petang tadi berhampiran Sekolah Menengah St John di sini, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Difahamkan, penemuan mayat kanak-kanak itu susulan soal siasat dijalankan oleh polis terhadap seorang suspek yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.
Dalam kejadian pagi kelmarin, Mohd Shariqal dikatakan kali terakhir dilihat bermain bersama dua abangnya di kawasan berhampiran kebun getah tidak jauh dari rumahnya di Kampung Selagon.
Ahli keluarga yang menyedari kehilangannya kira-kira jam 7 pagi, meminta bantuan jiran untuk mencari mangsa sebelum membuat laporan polis.
Berikutan itu, polis menjalankan operasi mencari kanak-kanak itu dengan bantuan bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

Post a Comment