Sunday, 19 October 2014

MUFTI ARAB SAUDI BERI AMARAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL AGAR TIDAK MENGHASUT DAN INGKAR PEMIMPIN


DUBAI, 18 Okt – Mufti Besar Arab Saudi memberi amaran terhadap salah guna media sosial untuk menghasut kekacauan, bantahan dan mengingkari pemimpin.

Dalam kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Al Madina awal minggu ini, Shaikh Abdul Aziz Abdullah al-Sheikh menggambarkan peralatan teknologi terkini dan media sosial sebagai pedang bermata dua dan berkata ia sebenarnya lebih banyak digunakan untuk tujuan keburukan daripada kebaikan.


“Laman media sosial digunakan untuk menyebarkan rasuah, memutarbelitkan pemikiran, menjatuhkan moral, mencetuskan kekeliruan, menyebarkan penipuan dan menggesa kekacau-an, bantahan dan mengingkari pemerintah,” katanya.

Shaikh Abdullah menasihatkan setiap umat Islam tidak mendapatkan maklumat daripada laman seperti itu.

MEDIUM POPULAR

Punca yang menyebabkan kenyataan mufti berkenaan dan masa ia dibuat tidak diketahui.
Kenyataan dibuat selepas media sosial memainkan peranan penting dalam kebangkitan Arab yang melanda rantau itu termasuk di Mesir.

Sejak beberapa bulan lalu, ada lebih satu kempen di media sosial supaya melakukan tindakan tertentu, termasuk menggesa supaya wanita dibenarkan memandu pada tarikh tertentu. Wanita tidak dibenarkan memandu di Arab Saudi.

Penggunaan media sosial di Arab Saudi amat popular, menurut tinjauan dan perangkaan syarikat internet.
Dengan 38 peratus menggunakan perantaraan itu, rakyat negara itu menduduki tempat teratas dalam senarai penduduk menggunakan Twitter di negara Arab, menurut tinjauan yang dilakukan Pusat Penyelidikan Ekonomi Wamdah.

PENONTON YOUTUBE TERTINGGI

Rakyat Mesir berada di tempat kedua dengan 30 peratus diikuti di Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu dengan masing-masing 13 dan tujuh peratus.

Majoriti pengguna adalah orang media dengan 62 peratus manakala ahli politik di tempat kedua iaitu 16 peratus dan tokoh agama 10 peratus. Arab Saudi juga mendahului senarai paling berpengaruh dalam Twitter.

Menurut perangkaan yang disiarkan enjin pencarian Google, Arab Saudi mencatatkan bilangan penonton video YouTube tertinggi dengan hampir 90 juta setiap hari. Secara keseluruhan, ada hampir 167 juta penonton video di YouTube sehari di Asia Barat dan Afrika Utara. – Agensi