Ketika ramai pihak tampil mengecam tindakan penganjur dan juga peserta program memegang anjing baru-baru ini, aktivis sosial kontroversi, Datin Paduka Marina Mahathir telah menongkah arus apabila dilihat seolah-olah cuba mempertahankan acara tersebut dengan menyalahkan beberapa pihak yang lantang mengecam program tersebut.
Beliau dalam satu kenyataan kepada media mendakwa bahawa pihak yang mengkritik program tersebut adalah pihak yang menanamkan sifat kebencian sehingga menutupi kebaikan sebenar yang terdapat dalam program seperti itu.
Menurut beliau, tindakan melampau segelintir pihak sehingga mengugut bunuh salah satu moderator program tersebut, Syed Azmi Alhabshi adalah satu tindakan bertentangan dengan agama dan kebaikan yang ada di dalam Islam dilihat telah dirampas golongan yang pandai mengkritik ini.
"Ancaman bunuh terhadap Syed Azmi Alhabshi memalukan agama kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam, kata aktivis. Saya sedih apabila kepercayaan yang seharusnya dikaitkan dengan nilai baik seperti pendidikan, kebaikan, belas kasihan dan kesucian dirampas sesetengah pihak yang sebaliknya mengaitkannya dengan kebencian, penipuan dan keganasan", ujar beliau dalam kenyataan itu.
Sebelum ini, beberpa tokoh terkenal antaranya Ustaz Kazim Elias telah tampil mengkritik program tersebut. Beliau dalam satu kenyataan berkata bahawa kempen anjing anjuran seorang Islam itu merupakan satu gerakan untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan ALLAH kepada penganutnya.
"Ini semua ada agenda halus untuk meliberal dan mempluralkan agama. Ianya gerakan yang cukup halus dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.
"Kalau hendak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing dan ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian," katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya sehingga mendapat ribuan perkongsian.-UtaraNews.com