Saturday, 25 October 2014

MAHASISWA UM TUNTUT JAMINAN KESELAMATAN DARI PDRM ANGKARA PMUM ANJUR PROGRAM ANWAR !!!


PANTAI DALAM – Penggerak Mahasiswa dan Sekretariat Presiden-Presiden Kolej Kediaman Universiti Malaya (UM), hari ini, menghantar memorandum kepada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) menuntut jaminan keselamatan dan keamanan kepada mahasiswa kampus sepanjang program Pidato Umum Dato’ Seri Anwar Ibrahim “40 Tahun Dari UM ke Penjara” yang akan berlangsung Isnin ini.


Pengerusi Penggerak UM, Wan Mohd Suhail Wan Senu, 22, berkata pihaknya dimaklumkan bahawa program tersebut tidak mendapat kebenaran pihak universiti, namun diteruskan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) Fahmi Zainol atas kapasiti individu.

Tambahnya lagi, program itu telah mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk kalangan mahasiswa dan Exco PMUM sendiri kerana ditakuti menimbulkan konflik dan huru-hara.

“Kita khuatir program ini akan mengeksplotasi dan menghasut pelajar ke jalanan demi agenda politik peribadi Dato’ Seri Anwar.

“Kita tidak mahu mahasiswa terus diperalatkan untuk menimbulkan kekacauan dan huru-hara dalam negara seperti berlaku ketika era Reformasi,” kata Suhail ketika ditemui Selangor Press di Balai Polis Pantai, di sini.

Menurut beliau lagi, Pengerusi PMUM merangkap penganjur program itu turut membuat kenyataan berbaut hasutan kerana menyeru mahasiswa dan anak muda untuk turun ke jalanan dan menyertai Himpunan Reformasi Rakyat Hakim Negara.

Jelasnya kenyataan Zainol yang menyeru golongan mahasiswa untuk terlibat dalam himpunan reformasi itu bukanlah agenda yang sihat, malah sebenarnya cuba mencabar sistem kehakiman negara kerana cuba mencampuri urusan perundangan dalam kes Anwar.

Suhail turut menggesa PDRM untuk mengambil tindakan serius terhadap program ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini dan menganggu ketenteraman mahasiswa UM.

Memorandum yang diserahkan kepada wakil PDRM turut dihadiri wakil mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).