Friday 3 October 2014

DANOK JADI 'RUMAH KEDUA' KONGSI GELAP MALAYSIA ?


KUALA LUMPUR – Ops Cantas Khas yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ogos 2013 bagi menangkap ahli kongsi gelap di negara ini mengundang fenomena baharu dalam pergerakan samseng-samseng itu.

Ahli-ahli kongsi gelap yang terancam dengan tindakan pihak berkuasa itu berlumba-lumba melarikan diri ke negara jiran dengan menjadikan Thailand, Indonesia dan Singapura sebagai lokasi persembunyian mereka.

Bagaimanapun, dikatakan daripada ketiga-tiga buah negara jiran itu, pilihan utama bagi ahli kongsi gelap Malaysia bersembunyi dan meneruskan aktiviti mereka ialah di Thailand.

Perkembangan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada keadaan di Pekan Danok yang bersempadan Bukit kayu Hitam, Golok yang bersempadan Rantau Panjang, Kelantan dan Betong yang bersempadan Baling, Kedah. Beberapa lokasi di kawasan itu kini didakwa dibanjiri samseng-samseng Malaysia.

Difahamkan, ada dalam kalangan ahli-ahli kongsi gelap yang melarikan diri daripada ditangkap dalam Ops Cantas Khas mampu membina atau membeli pusat-pusat hiburan di Thailand yang terletak bersempadan dengan Malaysia.