Friday 3 October 2014

PAS DAKWA JOHOR SEKAT BANTUAN ZAKAT KEPADA PENYOKONG PEMBANGKANG


KUALA LUMPUR 3 Okt - Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat mendakwa pelajar dari negeri Johor yang disekat daripada menerima bantuan zakat telah ditemuduga terlebih dahulu dan ditanya soalan berkaitan politik.

Menurut Suhaizan, ia menunjukkan bahawa sekatan ke atas pelajar berkenaan seolah-olah berdasarkan pandangan politik dan bukan disebabkan kelayakan.

Dalam kenyataannya, Suhaizan mendakwa lapan orang pelajar berkenaan antara lainnya diuji sama ada lebih cenderung menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, atau Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pelajar yang melanjutkan pelajaran di Mesir itu juga ditanya sama ada lebih cenderung memilih Umno, PAS atau PKR, dakwa Suhaizan lagi.

“Di sini, saya tegaskan bahawa persoalan yang berbaur politik ini adalah salah dan tidak sepatutnya diajukan dalam mana-mana sesi temuduga zakat.

“Berdasarkan maklumat pelajar terbabit, Pemuda PAS berpandangan bahawa pandangan politik pelajar semacam satu syarat kelayakan tambahan yang tersembunyi menyebabkan mereka dinafikan hak mendapatkan zakat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan penjelasan Majlis Agama Islam Johor semalam yang menyebut bahawa pelajar yang tidak menerima bantuan tidak memenuhi syarat kelayakan.

Jelasnya, pelajar berkenaan memaklumkan bahawa syarat yang dimaksudkan itu baru dimaklumkan pada 2013.

Walhal, pelajar berkenaan ditemuduga sejak tahun 2011 lagi, kata Suhaizan lagi.

“Jika mereka tidak layak lagi di peringkat awal, apa perlunya empat kali temuduga dilaksanakan?,” soalnya lagi yang menjelaskan maklumat berkenaan diperolehi daripada laporan pelajar berkenaan.

Menurutnya lagi, Pemuda PAS dimaklumkan bahawa nama mahasiswa yang hadir temuduga perlu dihantar ke pejabat MAIJ di Johor.

“Namun begitu, terdapat beberapa nama mahasiswa termasuk lapan orang mahasiswa yang telah dinyatakan di atas tidak dihantar oleh pihak pejabat HEP Johor di Mesir yang menjalankan temuduga ketika itu,” dakwanya lagi.