Seorang siswi jurusan seni visual membawa tilamnya ke mana saja di universiti tempat dia belajar sebagai protes selepas dirogol sebaik diterima belajar tahun lalu. Emma Sulkowicz, 21, berkata, dia akan terus berbuat begitu sehingga perogolnya ditangkap dan disingkir dari universiti berkenaan.
Aksi membawa tilam itu adalah sebahagian daripada tesisnya yang berjudul 'Mattress Performance: Carry That Weight.
“Sepanjang tahun lalu masa saya diisi dengan bercerita kepada orang ramai mengenai pengalaman yang dialami di ruang paling peribadi saya,” katanya.
Emma berkata, dia diperkosa di asramanya pada malam kedua di Universiti Columbia tahun lalu.
“Sejak itu saya berasa seperti menanggung beban setiap masa akibat kejadian itu,” katanya.
Beberapa bulan selepas menjadi mangsa serangan seksual, Emma membuat aduan kepada pihak pentadbiran universiti, namun kes berkenaan ditutup kerana suspek dikatakan tidak bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.
Namun Emma bukanlah satu-satunya mangsa serangan lelaki terbabit. Aduan Emma adalah satu daripada tiga laporan dibuat siswa berasingan terhadap penuntut lelaki tersebut.
Walaupun Emma merayu atas keputusan universiti, ia ditolak dan suspek dibebaskan. Sejak itu Emma membawa tilam menggunakan label sama seperti dibekalkan syarikat pembekal kepada universiti berkenaan.
Tindakannya itu mendapat sokongan profesornya, Jon Kessler, yang berkata, protes seni itu adalah signifikan dan menjadi simbol yang memberi kesan besar.
Ia juga disokong kumpulan aktivis mahasiswa yang berasa tindakan Emma dapat meningkatkan kesedaran supaya pihak universiti lebih serius menangani isu serangan seksual di pusat pengajian berkenaan.
No comments:
Post a Comment