KUALA LUMPUR : Empat orang guru, tiga daripadanya lelaki ditahan di Pulau Pinang dan Perak kerana disyaki terlibat dalam isu kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlaku baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek yang ditahan berusia di antara 30 sehingga 54 tahun.
"Penahanan dibuat pada pukul 3.30 petang di Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak.
"Semua gajet komunikasi mereka turut dirampas," katanya.
Pada Jumaat, polis telah mengambil keterangan enam pegawai Lembaga Peperiksaan dan seorang wartawan bagi membantu siasatan kebocoran kertas Sains dan Bahasa Inggeris UPSR.
Kong Meng turut menjelaskan, pihaknya sedang mengumpul keterangan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu.
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan itu pada Khamis manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 turut ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya pada Khamis juga.
LPM menetapkan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh sebelum ini turut meminta semua pihak memberi masa kepada pasukan petugas menjalankan siasatan berhubung kes kertas soalan UPSR.
Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai.
No comments:
Post a Comment