Wednesday, 17 September 2014

MUKTAMAR PEMUDA PAS KOTA TINGGI KECOH : PENGERUSI TETAP SESAK NAFAS DIKEJARKAN KE HOSPITAL


KOTA TINGGI - Pengerusi Tetap Pemuda Pas Kota Tinggi, Kamal Ashaari dikejarkan ke hospital kerana dilaporkan mengalami sesak nafas. Khabar itu diumumkan Timbalan Pengerusi Tetap, Dr Riduan Mohd Nor ketika sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas yang berlangsung di Dewan Choon Moi. 

Berita sepenuhnya.....
Muktamar Pemuda PAS ke-55 di Kota Tinggi, Johor malam ini kecoh apabila beberapa perwakilan membangkitkan isu pemilihan PAS tahun lalu tidak sah kerana beberapa kawasan di Johor tidak diiktiraf dan perwakilannya dibenarkan mengambil bahagian dalam pengundian 
Antara kawasan yang dibangkitkan perwakilan Pemuda PAS dari Shah Alam itu adalah Sembrong, Pengerang, Labis, dan Kulai.
Kekecohan itu timbul ketika sesi meluluskan minit mesyuarat laporan tahunan Muktamar PAS ke-54.
Perwakilan Pemuda PAS dari Shah Alam membangkitkan persoalan itu dan berkata perkara itu sangat serius memandangkan PAS berkemungkinan diharamkan pendaftaran mereka oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana laporan yang tidak lengkap.
"Setuju atau tidak pemilihan lepas adalah pemilihan tidak sah," kata Mohd Labib Abd Jalil, perwakilan Pemuda PAS dari Sabak Bernam ketika bangun menyokong kenyataan perwakilan Shah Alam itu.
Perwakilan pemuda PAS Shah Alam bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditemui The Malaysian Insider.
"Tiada komen, kita sedang bermesyuarat," katanya yang enggan mendedahkan identitinya.
Disebabkan kekecohan itu, Pengerusi Tetap Perwakilan Pemuda PAS Kamal Ashaari menangguhkan sidang muktamar selama 10 minit untuk mendapatkan nasihat kepimpinan yang lebih tinggi.
"Saya memohon kepada semua untuk membawa kepada pihak atasan, malah bawa kepada Majlis Syura Ulama.
"Saya mohon beri mandat kepada saya untuk bawa ke peringkat atasan untuk menyiasat dakwaan yang dibangkitkan malam ini, mereka yang ada autoriti buat keputusan," katanya.
Dalam keadaan menangis, Kamal berkata beliau memberi jaminan kepada pucuk pimpinan PAS malam ini bagi menyelesaikan isu itu.
"Saya akan bawa malam ini kepada kepimpinan atasan, tidak tunggu esok, lusa. Kita tidak ada autoriti.
"Kalau diputuskan kita perlu untuk mengadakan pemilihan semula, kita akan adakan muktamar khas untuk mengadakan pemilihan semula," katanya.
Kamal kemudiannya dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas selepas kekecohan itu diselesaikan sebaik sahaja perwakilan bersetuju meneruskan agenda perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.  – 16 September, 2014.

No comments: