Friday 5 September 2014

MAKAM RASULULLAH SAW TIDAK AKAN DIPINDAHKAN... AKAN KEKAL DI TEMPAT ASALNYA SEHINGGA DUNIA KIAMAT

Pelan sebenar projek pembesaran Masjidil Nabawi

KUALA LUMPUR, 4 September 2014 - Berita mengenai rancangan pemindahan makam Nabi Muhammad S.A.W yang disiarkan oleh akhbar Britain 'The Independent' adalah suatu pembohongan, kata Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Islam (ISESCO).


Dalam siaran akhbar yang dihantar kepada Bernama hari ini, ISESCO yang berpangkalan di Rabat, Mahgribi, mengecam sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas dalam artikel ditulis oleh wartawan akhbar itu, Andrew Johnson.


Akhbar itu pada hari ini menyiarkan artikel itu yang menyebut cadangan kontroversi itu terkandung dalam satu dokumen kajian yang disediakan oleh seorang tokoh akademik Arab Saudi.


Laporan itu menyebut makam Nabi Muhammad ﷺ akan dipindahkan daripada kedudukannya sekarang dalam Masjid al-Nabawi di Madinah ke kawasan perkuburan Baqi yang terletak berdekatan masjid itu dan pihak berkuasa Arab Saudi sedang berbincang berhubung cadangan itu.

ISESCO berkata laporan tidak bertanggungjawab itu merupakan suatu pembohongan besar berpunca daripada rasa benci dan konspirasi terhadap umat Islam dan kerajaan Arab Saudi yang menjadi tuan rumah kepada tempat-tempat suci Islam.


Tuduhan palsu itu juga bertujuan untuk mewujudkan kekeliruan dan kekacauan yang mampu mengancam keselamatan dan perpaduan serta memburukkan lagi keadaan di rantau ini di mana peperangan dan keganasan antara agama berlaku, menurutnya.


ISESCO menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya tidak mempercayai tuduhan jahat itu dan berkata makam Rasulullah ﷺ akan kekal di tempat mulianya sehingga hari kiamat.


ISESCO juga menuntut pihak berkuasa Arab Saudi menyaman penulis dan akhbar yang menerbitkan artikel pembohongan itu. Sumber : BERNAMA

Sebelum ni Al-Islah Perlis melalui sumber yang memaklumkan kepada Al-Arabiyah.net bahawa isu perpindahan makam Nabi ﷺ hanyalah kajian individu semata-mata dan bukannya keputusan kerajaan.

Tambah sumber itu, kajian berkenaan juga pernah disiarkan dalam Majalah Akademik Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.


Sumber itu juga menegaskan perkara berkenaan sudah pun dimuktamadkan dua tahun lalu semasa bermulanya projek pembesaran masjid. Jawatankuasa Ulama Arab Saudi memutuskan pembesaran hanya boleh dilakukan di bahagian utara masjid dan bahagian tingkat atas sebagaimana di Masjidil Haram Mekah, tanpa sebarang perubahan pada bahagian makam. Itulah keputusan yang dimuktamadkan.


Kekeliruan timbul selepas laporan The Independent dan Daily Mail yang menyebut terdapat usaha untuk memindahkan makam Nabi Muhammad ﷺ .



No comments: