Thursday 25 September 2014

KEMENANGAN BN DI PRK DUN PENGKALAN KUBOR DENGAN MAJORITI LEBIH BESAR

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) bersama calon Barisan Nasional, Mat Razi Mat Ail (kiri) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) meraikan kejayaan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor, di Pusat Operasi Barisan Nasional, malam ini. - Foto Fathil Asri

TUMPAT : Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar apabila calonnya, Mat Razi Mat Ail menang dengan kelebihan 2,635 undi, mengalahkan dua pencabarnya, Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada PAS dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu, BN menang dengan majoriti 1,736 undi.

Mat Razi mendapat 9,961 undi manakala Wan Rosdi meraih 7,326 undi dan Izat Bukhary hanya memperoleh 38 undi. Terdapat sebanyak 230 undi rosak

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya untuk PRK DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli, di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Biji Wangsa, Tumpat, di sini sebentar tadi.

Turut hadir pada majlis pengumuman rasmi keputusan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pengarah Jentera BN PRK DUN Pengkalan Kubor, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, calon PAS, Wan Rosdi dan calon Bebas, Izat Bukhary tidak hadir di pusat penjumlahan rasmi undi itu.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu.

Pada PRU ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Dengan kemenangan hari ini, BN mengekalkan kedudukan di DUN berkenaan untuk tiga penggal sejak 2004, sekali gus menafikan hasrat PAS untuk merampas kerusi DUN itu.

Mat Razi yang juga bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, memperoleh kemenangan selesa di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpangan iaitu tempat beliau membuang undi pagi tadi dan kampung halamannya.

Pada PRU lalu, BN menang di semua saluran tempat mengundi di PDM berkenaan dengan memperoleh 837 undi, berbanding 321 undi diperoleh PKR ketika itu.

PDM lain yang membantu kemenangan calon BN kali ini termasuk Pengkalan Kubor, Bunohan, Tujuh, Bunohan, Jubakar Barat dan Kampung Ketil.

Sebanyak 11 PDM dengan 45 saluran tempat mengundi dibuka untuk undi biasa hari ini.

Info:

1. Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas)..........38
2. Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS)...............7,326
3. MAT RAZI MAT AIL (BN) ....................9,961
Jumlah mengundi.........................17,555
Peratus...............................................73%
Undi Rosak..........................................230
Majoriti.............................................2,635
Penyandang: Datuk Noor Zahidi Omar (BN)
Undi diperoleh PRU13 (2013) : 10,174
Majoriti : 1,736

No comments: