BANGI, 15 September 2014 - Kajian oleh seorang pakar hadis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati 34.42% daripada hadis yang sering di petik dan digunakan di kalangan masyarakat Melayu adalah palsu atau mawdu.
Professor Datin Paduka Dr Jawiah Akhir dari Fakulti Pengajian Islam mendedahkan hasil kajiannya itu dalam Syarahan Perdananya bertajuk, “Keberadaan Al-Mawdu dalam Masyarakat Melayu” di sini hari ini.
Beliau telah mengupas isu hadis palsu yang wujud dalam Islam hingga membawa kepada perpecahan umat pelbagai puak serta percanggahan dalam aqidah hingga merangkumi soal ibadat dan kehidupan.
Hadis Rasulullah ﷺ adalah sumber utama agama Islam selepas Al Quran tetapi dicemari dengan adanya hadis palsu yang memberi impak negatif kepada orang Islam dan pemahaman mereka terhadap Islam.
Hasil kajian Prof Jawiah mendapati daripada 825 hadis yang popular dalam masyarakat Melayu hanya 285 adalah mawdu.
Kajiannya juga mendapati hadis palsu itu bukan saja diperkatakan oleh orang yang tidak mempunyai kelayakan agama seperti perbincangan di kedai kopi atau jalanan tetapi oleh orang yang bertauliah dalam bidang agama seperti imam dan ustaz.
Hadis palsu demikian turut diungkapkan dalam kutbah Jumaat di seluruh negara, dalam kitab agama bahasa Arab, buku motivasi dan buku mengenai hari-hari penting dalam Islam seperti Israk-Mi’raj, kata Prof Jawiah.
Selain itu hadis palsu juga kedengaran di kaca TV dalam rancangan seperti Forum Perdana yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) sendiri.
Beliau berkata apa yang berlaku adalah tokoh-tokoh agama termasuk imam dan ustaz mengambil jalan mudah dengan mengulangi hadis yang disampaikan oleh ‘ulama’ terdahulu.
Dengan itu hadis palsu demikian turut diulangi berkali-kali hingga merentasi zaman dan benua. Itulah sebabnya hadis palsu demikian terus digunakan sehingga hari ini, sedangkan hadis itu bukan dari Rasulullah ﷺ.
Prof Jawiah memberi contoh beberapa kitab mashyur oleh ulama terdahulu, yang secara tidak sengaja telah menggunakan hadis-hadis demikian dalam kitab-kitab mereka.
Beliau menyebut kitab seperti Durrah al Nasihin oleh Al-Hindi, Irshah ‘Ibad’ Ila Sabil Al Rashad oleh Sheikh Zayn Al-Din Al Malabari, Matla Al Badrayn dan Al Jawhar Al Mawhub wa Munabbihat Al Qulubby oleh Sheikh Ali Abd Al-Rahman Al Kelantani dan buku terkenal Ihya’ Ulum Al Din oleh Sheikh Al Ghazali.
Semua buku-buku itu mengandungi hadis sahih yang dicampur aduk dengan hadis mawdu dan hadis lemah.
Beliau menyebut kitab Ihya’Ulum Al Din oleh Sheikh Al Ghazali mengandungi sehingga 265 hadis yang dikenal pasti sebagai mawdu dalam pelbagai bab termasuk mengenai akidah. Sheikh Al Ghazali di penghujung hidupnya telah mempelajari ilmu hadis dengan mendalam.
Prof Jawiah hairan bagaimana hadis dipalsukan hingga telah menyelinap masuk ke kitab yang ditulis oleh ulama’ yang disegani dan telah menghuraikan sebab-sebabnya.
Pertama adalah untuk kepentingan politik di mana konflik yang tercetus di antara Sunni dan Syiah telah menyebabkan wujudnya hadis palsu. Masing-masing ingin menguatkan tuntutan mereka dan telah memalsukan hadis untuk mencapai maksud mereka.
Kedua adalah untuk kepentingan peribadi di mana hadis direka oleh penglipur lara untuk mengambil hati pendengar agar mereka diberi imbuhan wang.
Ketiga hadis boleh juga bertukar menjadi palsu apabila diterjemahkan dari bahasa Arab kepada Bahasa Melayu. Untuk memudahkan pemahaman banyak hadis dipendekkan dan tumpuan beralih daripada ketepatan kepada pemahaman, kata Prof Jawiah.
Turut hadir mendengar syarahannya ialah Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, dekan-dekan, pegawai-pegawai kanan UKM serta para pelajar.
Oleh : Shahfizal Musa
Foto : Ikhwan Hashim
No comments:
Post a Comment