MAKKAH : Tahun ini, Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf iaitu kemuncak ibadat haji, ditetapkan pada 3 Oktober dan Aidiladha disambut pada hari berikutnya, demikian diumumkan Mahkamah Agung Arab Saudi.
Portal berita Arab News www.arabnews.com melaporkan pengumuman itu dibuat oleh Mahkamah Agung selepas beberapa individu melihat anak bulan Zulhijjah pada Rabu.
Mahkamah Agung juga mengumumkan Khamis adalah hari pertama Zulhijjah.
Hari Wukuf iaitu rukun haji, pada tahun ini akan menyaksikan perhimpunan lebih dua juta jemaah, termasuk 22,320 jemaah daripada Malaysia, di padang Arafah untuk berdoa dan memohon keampunan Allah SWT.
Arafah terletak kira-kira 22 kilometer dari Makkah.
Dikatakan sesiapa yang tidak berwukuf di Arafah tidak mendapat haji dan ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW iaitu ‘Haji adalah Arafah.’
Di Arafah juga Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbahnya yang terkenal dengan nama Khutbah Perpisahan pada tahun terakhir hayatnya, dan ia juga menjadi tempat Nabi Adam dan Hawa bertemu selepas dikeluarkan daripada syurga Jannah dan ditempatkan di bumi.
Sementara itu, 93.89 peratus atau 20,957 jemaah haji dari Malaysia sudah tiba di tanah suci.
Hari ini, satu penerbangan iaitu KT60 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah pada 5.30 pagi waktu tempatan (10.30 pagi di Malaysia) membawa 448 jemaah. Penerbangan yang membawa kumpulan jemaah haji terakhir dari Malaysia dijangka tiba Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment