Tuesday, 19 August 2014

TEMUDUGA TERBUKA SUKARELAWAN SIMPANAN POLIS DI IPD MANJUNG


IPOH : Orang ramai di Perak yang berminat untuk menyertai pasukan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) boleh menghadiri temuduga terbuka selama lima hari bermula pada 2 Sept ini.



Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata temuduga terbuka itu akan diadakan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dari 2 hingga 6 Sept dan mereka yang berminat boleh mendaftar nama di situ.




“Kita akan mengambil seramai 500 anggota untuk dilatih dan ditempatkan di balai polis berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, Selasa.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan SSPDRM bukan sahaja dari kalangan orang awam malah golongan profesional juga amat digalakkan kerana mereka dilihat mampu membantu PDRM dengan memberi idea baharu yang boleh dipraktikkan oleh pihak polis, katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata pihaknya mengesan satu maklumat palsu disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp kononnya dua pekerja restoran makanan segera telah dipukul di Kuala Kangsar.

“Saya ingin menegaskan tiada kejadian sebegini berlaku dan ini adalah satu penipuan. Orang ramai diminta supaya tidak terus menyebarkan maklumat yang tidak sahih,” katanya.

Beliau berkata, polis sentiasa melakukan yang terbaik untuk masyarakat dalam menangani masalah penyebaran berita palsu di laman sosial yang semakin meluas pengaruhnya.

“Isu ini boleh menyebabkan masyarakat bertelagah antara satu sama lain dan janganlah kita terlalu percaya dengan apa yang ada di laman sosial,” katanya.

No comments: